WILAYAH - SELATAN > BERITA

TUDUHAN RASUAH: POLIS SIASAT HANTARAN FACEBOOK KAITKAN TUNKU MAHKOTA ISMAIL

30/06/2024 10:53 AM

JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Polis telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran Facebook Kelab Penyokong PAS Malaysia yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah terhadap individu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata hantaran itu mendakwa Tunku Mahkota Ismail mengatakan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin meminta rasuah berjumlah RM20 juta daripada Qatar Holdings, pada 28 Jan tahun lepas.  

Kumar berkata laporan berhubung dakwaan itu dibuat di Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi kira-kira 4.05 petang, semalam. 

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang membuat hantaran, menularkan ataupun berkongsi maklumat berbaur hasutan, fitnah dan palsu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara. 

Menurut Kumar, hantaran bertajuk 'TMJ dah bersuara, takkan PMX masih senyap?' boleh diakses di pautan https://www.facebook.com/share/p/ng2tb1hMJqScCj41/?mibextid=K35XfP.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata Johor melihat isu itu sebagai satu cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi diraja dan kerajaan negeri telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan