WILAYAH - SABAH > BERITA

KERAJAAN SABAH PERUNTUK RM3 JUTA BINA MASJID AR-RAHMAN DI TAWAU

30/06/2024 04:18 PM

TAWAU, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan awal RM3 juta bagi pembinaan Masjid Ar-Rahman, Bandar Sri Indah di sini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pembinaan masjid ini bagi menampung keperluan penduduk kawasan itu yang berjumlah  kira-kira 10,000 orang.

“Saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat segera dimulakan bagi memastikan masjid ini siap dibina sebagaimana dirancang dalam waktu ditetapkan," katanya ketika menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah di sini hari ini.

Hajiji berkata masjid yang bakal dibina itu diharap akan menjadi masjid paling aktif dan berdaya saing sejajar dengan masjid-masjid sedia ada di Tawau terutama dari segi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan serta perekonomian.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan rasa terima kasih serta penghargaan kepada Anggota Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui serta keluarga kerana bermurah hati mewakafkan tanah seluas lima ekar untuk pembinaan Masjid Ar-Rahman, Bandar Sri Indah.

Selain itu, Hajiji berkata Sabah merupakan negeri yang memiliki masjid terbanyak di Malaysia iaitu 1,126 masjid serta 1,221 surau, dan untuk Tawau sahaja terdapat 133 masjid dan 103 surau, manakala Semporna memiliki 246 masjid serta surau.

“Kita mesti menjadi umat Islam yang berdisiplin, mempunyai moral yang cintakan keadilan, perpaduan dan kemajuan, ini mesti diterapkan pada diri umat Islam, supaya imej agama Islam berada di tempat yang sewajarnya," katanya lagi.

Menurut beliau, meskipun agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini, penduduk bukan beragama Islam bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan