WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JAKOA AKAN PASTIKAN TIDAK BERLAKU KETIRISAN BANTUAN SUBSIDI DIESEL

01/07/2024 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bantuan subsidi bahan api diesel kepada masyarakat Orang Asli disalurkan mulai semalam berdasarkan permohonan tuntutan yang dikemukakan mereka, menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Jabatan itu berkata pihaknya akan memperkemas proses permohonan tuntutan dengan bantuan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) yang akan turun padang, agar tiada keciciran berlaku dalam kalangan Orang Asli yang layak, dan JAKOA akan memastikan tidak berlaku ketirisan berhubung penyaluran bantuan itu.

“Bantuan ini akan membantu dalam meringankan beban kos bahan api yang ditanggung oleh masyarakat Orang Asli dalam menjalankan aktiviti harian dan ekonomi mereka. Bantuan ini turut meliputi mereka yang tidak termasuk dalam kategori BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Individu,” menurut JAKOA dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, mengambil kira kekangan dan rintangan masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman, JAKOA akan memperhalusi mekanisma pembayaran bantuan serta menjadi agensi pemudahcara supaya proses itu dapat dilaksanakan dengan lancar.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa JAKOA sentiasa komited dalam membantu masyarakat Orang Asli dan berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup mereka.

JAKOA turut menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI yang melibatkan pemilik kenderaan persendirian individu, petani dan pekebun kecil komoditi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan