WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PMI PEMBUATAN MALAYSIA NAIK KEPADA 49.9 PADA JUN 2024 - S&P GLOBAL

01/07/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan S&P Global Malaysia diselaraskan mengikut musim mencatatkan 49.9 pada Jun 2024.

Pengarah Ekonomi S&P Global Market Intelligence Andrew Harker berkata Jun merupakan bulan kestabilan bagi pengeluar Malaysia susulan daripada pertumbuhan yang dilihat pada Mei.

Dari aspek positif, katanya syarikat sekali lagi dapat membawa masuk jumlah kerja baharu yang lebih besar tetapi masih terdapat beberapa laporan permintaan yang kekal rendah.

Oleh itu, pengeluar gembira untuk mengekalkan pengeluaran dan tahap pekerjaan mereka tidak berubah, katanya.

“Inflasi kos juga stabil walaupun syarikat lebih bersedia untuk menaikkan harga jualan mereka sendiri daripada sebelum ini.

“Melihat kepada suku kedua secara keseluruhan, data PMI telah menunjukkan peningkatan berbanding awal tahun ini, memberi prospek baik untuk data rasmi yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bacaan PMI untuk Mei 2024 ialah 50.2.

S&P Global Malaysia berkata peningkatan dalam keseluruhan perniagaan baharu sebahagiannya mencerminkan pertumbuhan mampan pesanan eksport baharu yang meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut.

Menurutnya, syarikat melaporkan pesanan baharu yang lebih tinggi daripada pelanggan di pelbagai destinasi Asia Pasifik termasuk Australia, Filipina dan Vietnam.

“Pertumbuhan pesanan baharu dijangka mampan pada tahun akan datang, menyokong keyakinan mengenai prospek pengeluaran pembuatan,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan