WILAYAH - SARAWAK > BERITA

295 PERKAMPUNGAN ORANG ASLI DIWARTAKAN SEBAGAI KAWASAN RIZAB - RUBIAH

01/07/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Sebanyak 295 daripada 853 perkampungan Orang Asli telah diwartakan sebagai kawasan rizab Orang Asli.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata perwartaan kawasan yang berkeluasan keseluruhan 40,412 hektar itu dilaksanakan mengikut Seksyen 6 dan 7 Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

“Kementerian juga sedang menyelesaikan isu melibatkan kawasan penempatan Orang Asli yang bertindih dengan kawasan rizab lain bagi membolehkan ia diwartakan sebagai kawasan rizab Orang Asli.

‘’Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memberi fokus dalam menyelesaikan pengukuran dan pewartaan kepada kawasan penempatan Orang Asli terlebih dahulu bagi membolehkan pembangunan dinikmati di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan mengenai Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tahun 2021 dan 2022 bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat, hari ini.

Rubiah berkata setakat ini, sejumlah 272 perkampungan Orang Asli dengan keluasan kawasan 809,677 hektar telah diukur dan dipohon untuk diwartakan, namun belum mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri terlibat.

“Justeru, JAKOA amat berharap kerajaan-kerajaan negeri dapat memberi perhatian sewajarnya kepada pemohonan tersebut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan