WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TAJIKISTAN PERTAHAN KEJUARAAN PESTABOLA MERDEKA EDISI KE-43

01/07/2024 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Tajikistan berada di ranking 102 dunia akan mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka 2024 dijadual berlangsung dari 2 hingga 10 Sept di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini.

Selain Malaysia (135) dan Tajikistan, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata dua lagi pasukan ialah Luban dan Filipina yang masing-masing menghuni tangga ke-117 dan 147 dunia.

Katanya, kesemua empat pasukan itu akan diundi pada satu tarikh dimaklumkan kelak bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu separuh akhir satu dan dua.

Menurutnya perlawanan kedua pula membabitkan final yang menemukan pemenang separuh akhir satu dan dua serta penentuan tempat ketiga antara dua pasukan yang kalah pada aksi separuh akhir.

“Ini kali pertama Pestabola Merdeka berjaya dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun, selepas kali terakhir ia diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008 sebelum iadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu, 2023.

“FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat sama-sama memeriahkan pertandingan Pestabola Merdeka 2024 dengan hadir ke Stadium Nasional memandangkan edisi ke-43 ini berlangsung ketika Bulan Kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 Sept,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada edisi lepas yang turut berlangsung di venue yang sama, skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan India 4-2 pada peringkat separuh akhir namun terpaksa akur dengan gelaran naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan pada aksi final.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan