WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IMIGRESEN TAHAN 142 PENDATANG ASING DI KUALA PILAH

01/07/2024 10:52 PM

SEREMBAN, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan menahan 142 pendatang tanpa izin dalam serbuan di 34 premis sekitar Kuala Pilah pada 28 Jun hingga semalam.

Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua yang berusia 21 hingga 54 tahun itu ditahan hasil pemeriksaan terhadap 315 warga asing oleh 21 pegawai dan anggota jabatan berkenaan.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki dan tiga wanita warga Myanmar, enam lelaki Pakistan, 54 lelaki dan 17 wanita Indonesia, 32 lelaki Bangladesh, seorang lelaki dan empat wanita Kemboja serta dua lelaki India.

"Kebanyakan pendatang tanpa izin itu dipercayai berpindah dari Seremban ke Kuala Pilah susulan operasi yang giat dilaksanakan di Seremban dan Nilai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tan semasa operasi dijalankan, terdapat beberapa pendatang tanpa izin cuba melarikan diri termasuk bersembunyi di atas siling bagi mengelak dicekup.

"Selain itu, berlaku pergelutan antara pendatang tanpa izin dengan pihak imigresen di sebuah premis,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengeluarkan 19 borang saman saksi kepada majikan dan penjaga premis untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.

Kesemua pendatang tanpa izin itu didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan