WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENAMBAHAN KAPASITI HOSPITAL MIRI MANFAATKAN PENDUDUK MIRI, UTARA SARAWAK - KKR

02/07/2024 01:31 PM

KUCHING, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini secara rasmi menyerahkan bangunan tambahan bernilai RM289.2 juta Hospital Miri kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

KKR dalam kenyataan memaklumkan inisiatif meningkatkan kapasiti serta keupayaan Hospital Miri itu akan membantu kerajaan menampung keperluan perubatan yang semakin mendesak bagi penduduk di kawasan berkenaan dan utara Sarawak. 

Kementerian itu memaklumkan Majlis penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri kepada KKM selaku pemilik projek hari ini disaksikan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni serta pengurusan tertinggi dari kedua-dua kementerian.

Menurut KKR,  sijil perakuan siap kerja (CPC) bagi bangunan tambahan itu telah dikeluarkan pada 28 April lepas, dengan peningkatan kapasiti serta keupayaan bagi hospital itu meliputi penambahan bilangan katil, kepakaran perubatan dan juga perkhidmatan sokongan.

Projek bangunan tambahan itu direka bentuk dengan kapasiti dan keupayaan, antaranya 328 katil melibatkan pelbagai wad, 900 tempat letak kenderaan, 300 tempat letak motosikal dan lain-lain kemudahan berkaitan.

“Dengan penyerahan bangunan tambahan hari ini, ia akan membolehkan pihak KKM dan Hospital Miri menempatkan dan melakukan pengujian semua peralatan perubatan yang diperlukan sebelum memulakan operasi secara rasmi, yang akan dimaklumkan oleh pihak Hospital Miri kelak,” menurut KKR.

-- BERNAMA

 

 

 

 

   


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan