WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARIMAU BELANG MASUK PERANGKAP DI SUNGAI SIPUT

03/07/2024 09:05 PM

IPOH, 3 Julai (Bernama) -- Seekor harimau belang berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang memasang perangkap khas di Ladang Santani, Jalong, Sungai Siput di sini awal pagi tadi.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata perangkap khas itu dipasang pada 20 Jun lepas susulan aduan daripada penduduk bahawa terdapat beberapa ekor kambing dan anjing mati dibaham haiwan liar tersebut.

“Usaha untuk menangkap harimau itu dibuat selepas pihak Perhilitan Perak mendapat aduan serangan harimau ke atas tiga ekor kambing dan seekor anjing peliharaan penduduk di ladang berkenaan pada 9 Jun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata melalui pemeriksaan pihaknya awal pagi tadi berjaya menangkap seekor harimau jantan berusia lingkungan dua tahun dianggarkan seberat 100 kilogram.

Menurutnya haiwan itu dalam keadaan sihat dan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai.

“Pihak kami masih menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada lagi ancaman oleh haiwan itu di kawasan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan