WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK SG BAKAP: KEMPEN CALON PH SUDAH LIPUTI 90 PERATUS PENGUNDI

04/07/2024 12:27 PM

NIBONG TEBAL, 4 Julai (Bernama) -- Berbaki dua hari lagi sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini, kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin telah meliputi 90 peratus pengundi di kawasan itu.

Joohari yang lebih mesra disapa Cikgu Joo berkata beliau yakin mampu menghabiskan baki 10 peratus itu sebelum hari pengundian menerusi pendekatan kempen secara bersemuka di samping akan menggandakan lagi kempen menerusi TikTok yang berjaya membawa capaian yang lebih menyeluruh kepada kumpulan sasaran.

“Kempen sekarang ini (fokus) rumah ke rumah santuni pengundi bersama petugas (jentera) kita telah pun capai sekitar 85 hingga 90 peratus. Yang lain menerusi media sosial itu dah merata (liputan).

“Kita akan terus pastikan bahawa maklumat kita terutama menerusi media sosial itu dapat kepada pengundi sasaran,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Ceramah Perpaduan di Taman Halaman Indah di sini malam tadi.

Bekas guru itu berharap sasaran 80 peratus daripada keseluruhan 39,279 pengundi berdaftar di DUN Sungai Bakap akan keluar mengundi Sabtu ini dapat dicapai bagi memberikan kemenangan selesa kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kalau (pengundi keluar) dapat 80 peratus ia cukup baik. Sebab kita kalau kurang daripada itu, betullah… kita dah boleh tahu siapa yang menang tapi ia boleh mewakili hanya sebahagian kecil daripada gambaran sebenar pengundi. 

“Jadi saya harap kalau boleh pengundi turunlah ramai-ramai. Kalau lebih ramai saingan akan jadi lebih sihat dan lebih jelas,” katanya.

Joohari juga berkata pihaknya melihat kecenderungan pengundi muda Sungai Bakap kini sudah mula menunjukkan tanda positif dan diharapkan beralih sepenuhnya kepada PH.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan