WILAYAH - SARAWAK > BERITA

"BAPA PEKERJA MALAYSIA" ZAINAL RAMPAK MENINGGAL DUNIA

04/07/2024 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bekas Senator Dewan Negara Tan Sri Zainal Rampak yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 84 tahun. 

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata beliau dimaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 2.30 pagi di Hospital Selayang, Selangor dipercayai akibat sakit tua. 

Allahyarham yang merupakan anak jati Tanjung Keling, Melaka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya di Selangor pagi ini. 

"Allahyarham menetapkan standard yang tinggi kepada barisan kepimpinan MTUC kerana beliau sememangnya amat tegas dalam isu berkaitan pekerja. Beliau yang amat prihatin dengan nasib pekerja, mendedikasikan hidupnya memperjuangkan hak pekerja, dan tidak gentar bersuara jika ada pekerja ditindas. 

"Dalam ketegasan itu beliau juga seorang yang sangat empati dan bertimbang rasa terhadap pekerja. Malah jika ada isu beliau sentiasa bersedia meluangkan masa bertemu pihak berwajib selain memastikan tindakan sewajarnya dibuat secepat mungkin," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Kamarul Baharin berkata perjuangan Zainal dalam isu-isu pekerja juga membawa Allahyarham ke Dewan Negara bagi mewakili kesatuan sekerja, selepas mengangkat sumpah sebagai senator pada Disember 1998. 

Allahyarham yang bergelar Senator sehingga 2005 merupakan  presiden MTUC kedua dilantik sebagai senator selepas S.P.S. Nathan yang dilantik ke Dewan Negara pada 1963.

Komitmen serta sumbangan besar beliau terhadap golongan pekerja membawa kepada penganugerahan gelaran 'Bapa Pekerja Malaysia' dari MTUC pada 1 Mei 1997. 

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Presiden MTUC selama 18 tahun bermula 1986 juga merupakan ahli badan pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dari 2000 hingga 2004 dan Pengerusi Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa bagi rantau Asia Pasifik dari 2001 hingga 2009. 

Beliau juga merupakan Setiausaha Agung Majlis Kesatuan Sekerja ASEAN dari 1996 hingga 2004.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan