WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ADFIM TEROKA EKOSISTEM PEMBIAYAAN PEMBANGUNAN, KEUSAHAWANAN INDONESIA

04/07/2024 02:43 PM

Daripada Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Julai (Bernama) -- Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) sedang mengkaji dan meneroka ekosistem pembiayaan pembangunan dan keusahawanan yang dinamik di Indonesia dalam lawatan kajian ke republik itu.

Pengerusi ADFIM yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) Izwan Zainuddin berkata delegasi itu mempelajari strategi dan produk pembiayaan yang inovatif, khususnya bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

“Kita berharap dapat memahami amalan terbaik, meningkatkan keterangkuman kewangan, memperkasa usahawan, mengembangkan produk pembiayaan inovatif, memperbaiki struktur dan keberkesanan institusi serta membangunkan jaringan kerjasama,” katanya kepada Bernama.

Beliau dalam pada itu komited untuk membawa pulang visi berharga dalam memperkukuh ekosistem pembiayaan pembangunan dan keusahawanan di Malaysia, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berterusan.

Turut serta dalam delegasi ADFIM itu ialah perwakilan daripada Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) Malaysia termasuk Agrobank, Bank Rakyat, Bank Pembangunan Malaysia Bhd, EXIM Bank, SME Bank, PUNB, Pernas, MIDF, dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Rombongan itu turut melawat institusi penting di Jakarta dari 1 hingga 6 Julai seperti Lembaga Pengembangan Perbankan Indonesia (LPPI), Bank Indonesia, Otoritas Jasa Keuangan, Association of Indonesia Shariah Banks, PT Bank Rakyat Indonesia (BRI), dan PT Permodalan Nasional Madani (PNM).

Fokus perbincangan semasa merangkumi pengembangan produk-produk pembiayaan inovatif, strategi pembangunan keusahawanan, keterangkuman kewangan dan penggunaan teknologi dalam pembiayaan.

Setiausaha Agung ADFIM Mohd Prasad Hanif berkata pihaknya akan mengintegrasikan pengetahuan dan strategi yang diperoleh untuk mengembangkan produk pembiayaan bagi mencapai keterangkuman kewangan.

“Kita akan berusaha memperbaiki akses kepada pembiayaan bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dengan mengembangkan saluran pengagihan baharu, termasuk penggunaan teknologi digital dan platform fintech.

“Ini akan memastikan lebih ramai usahawan kecil dan sederhana di kawasan luar bandar dan komuniti terpinggir dapat memperoleh modal yang diperlukan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Inisiatif lain termasuk memperkasa usahawan melalui peningkatan program holistik pembangunan usahawan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa kewangan di Malaysia untuk mengembangkan dasar serta peraturan yang menyokong keterangkuman kewangan dan pembangunan keusahawanan.

“Kita juga akan memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan dan agensi pembangunan di Indonesia untuk bertukar-tukar pengetahuan dan sumber.

“Ini termasuk kemungkinan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian kerjasama strategik untuk memperluas rangkaian sokongan keusahawanan dan kewangan di antara kedua-dua negara,” tambah Mohd Prasad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan