WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LABUAN MANFAATKAN INSENTIF I-BOX, PACU PERBANKAN DIGITAL ISLAM

04/07/2024 03:38 PM

LABUAN, 4 Julai (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA)  memperkenalkan garis panduan bagi penubuhan bank-bank digital Islam Labuan berkuatkuasa pada 1 Julai, 2024, di bawah keperluan kawal selia sandbox baharu.

Inisiatif itu bertujuan memacu sektor perbankan digital Islam dengan memanfaatkan insentif di bawah sandbox kewangan digital Islam Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) atau dikenali sebagai i-BOX.

Pembangunan itu melengkapkan rangka kerja perbankan digital pulau berkenaan selain menjadi satu langkah besar untuk menjadikan Labuan sebagai hab kewangan antarabangsa yang terkemuka.

Dalam kenyataan hari ini, Labuan FSA berkata garis panduan itu juga sebagai susulan terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam pada 28 Mei, 2024, mengenai peranan i-BOX Labuan yang merangkumi pakej bagi menggalakkan penubuhan bank digital Islam rantau ini.

Inisiatif i-BOX itu direka untuk menarik peserta baharu ke ruang perbankan digital Islam dengan menawarkan kemudahan perbankan dan sokongan untuk entiti yang beroperasi di bawah inisiatif Pusat Aset Digital Islam. 

Pada masa sama, langkah itu dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan Labuan sebagai pemain penting dalam landskap kewangan Islam antarabangsa.

Labuan FSA juga menyifatkan i-BOX juga seiringan dengan pengenalan Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pengecualian) 2024 yang mengecualikan empat jenis entiti di Labuan, termasuk bank-bank digital Islam wilayah itu daripada membayar cukai ke atas aktiviti-aktiviti layak bagi tahun taksiran 2024 hingga 2028.

Kalangan pemohon yang berjaya akan diserapkan ke dalam program i-BOX selama tiga tahun dan diberi beberapa pengecualian.

Inisiatif itu bertujuan memupuk sektor perbankan digital Islam yang berkembang maju dan berdaya saing di Labuan IBFC dengan menggalakkan peserta memanfaatkan kemajuan teknologi dan menerima inovasi produk.

“Ini termasuk memudahkan penciptaan rangka kerja pengawalseliaan bersepadu bagi kewangan digital Islam dalam skala antarabangsa, menggalakkan kerjasama dan kecekapan sektor berkaitan.

“Pengumuman serentak insentif i-BOX dan pelancaran pelan induk hab blockchain patuh Syariah Labuan dijangka dapat menarik kalangan perusahaan teknologi kewangan (fintech) dan pihak lain yang berminat untuk meneroka peluang yang terus berkembang di Labuan,” katanya.

Labuan FSA berkata langkah integrasi penyelesaian berasaskan teknologi dengan perkhidmatan kewangan Islam akan turut membolehkan Labuan bersedia sebagai menjadi pintu masuk digital untuk pelbagai pelabur dan peserta antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan