WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENIAGA KETAM DIPENJARA ENAM BULAN, DENDA RM15,000 MUAT NAIK HANTARAN JELIK BERKAITAN RAJA PERLIS

04/07/2024 04:04 PM

KANGAR, 4 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga ketam dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran jelik berkaitan Raja Perlis menerusi akaun Facebooknya pada Mac lepas.

Hakim Musyiri Peet memerintahkan hukuman ke atas Hasbullah Mohammad, 41, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mac dan dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Musyiri telah menasihati Hasbullah supaya berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat, yang berada di hujung jari melalui media sosial.

“Sedikit nasihat daripada saya, negara kita negara (raja) berperlembagaan, dalam media sosial ini maklumat di hujung jari, maklumat mudah disebarkan dan kena berhati-hati sebab mudah untuk menyebarkan maklumat tanpa memastikan kesahihan dan boleh dihantar kepada orang awam,” katanya.

Hasbullah didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Raja Perlis sekitar 3.26 pagi pada 6 Mac 2024, dengan niat menyakiti hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Muhammad Muhammad (ku tehh ku muhammad)’.

Pendakwaan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum  RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali manakala Hasbullah diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Ahmad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan