WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MELAKA TINGKATKAN PENGANJURAN PROGRAM ADVOKASI, KURANGKAN ISU SOSIAL PELAJAR SEKOLAH

04/07/2024 05:10 PM

MELAKA, 4 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka menerusi pelbagai agensi berkaitan akan meningkatkan penganjuran program berbentuk advokasi dalam kalangan pelajar sekolah dan ibu bapa dalam usaha mengurangkan isu atau kes sosial melibatkan pelajar sekolah di negeri itu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata salah satu inisiatif yang bakal dianjurkan ialah Program Advokasi Kanak-Kanak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka yang bertujuan mendidik ibu bapa dan pelajar sekolah tentang isu semasa melibatkan generasi muda.

"Kita agak bimbang dengan situasi semasa anak-anak kita khususnya pelajar sekolah termasuk sekolah rendah yang banyak terlibat dalam aktiviti sosial yang tidak sepatutnya seperti hisap ‘vape’ dan sebagainya.

"Saya tidak dapat kongsikan data terkini melibatkan mereka, tetapi penglibatan mereka dalam aktiviti sosial itu bukan hanya melibatkan pelajar lelaki tetapi juga wanita dan jumlahnya juga agak tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Melaka 2024 anjuran Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang turut dihadiri Pengarah LPPKN Dr Annita Mohd Hedzir.

Kalsom berkata penglibatan pelajar sekolah dalam aktiviti sosial yang tidak sihat perlu dikekang di peringkat awal agar mereka tidak terjerumus ke dalam aktiviti yang lebih memudaratkan mereka.

Beliau berkata ibu bapa juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dan memantau setiap aktiviti anak-anak mereka termasuk rakan rapat dan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut pada guru sahaja.

Terdahulu, Kalsom berkata Sambutan Hari Bapa Peringkat Melaka 2024 diadakan sebagai tanda penghargaan kepada golongan bapa di negeri itu yang berperanan sebagai tonggak dan pelindung keluarga.

"Sambutan berkenaan diadakan dengan pelbagai aktiviti antaranya saringan kesejahteraan lelaki, sesi kaunseling dan terapi senyum atau seni, pameran serta forum bertajuk Bapa Cakna, Keluarga Sejahtera," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan