WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MUHYIDDIN DAPATKAN KHIDMAT PEGUAM DIRAJA SERTAI PASUKAN PEMBELAANNYA

04/07/2024 06:17 PM

PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan khidmat Peguam Diraja (King’s Counsel) untuk menyertai barisan pembelaannya dalam usaha beliau membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

Peguamnya Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika dihubungi Bernama mengesahkan Peguam Diraja Steven Perian akan menyertai pasukan pembelaan Muhyiddin bersama 14 peguam termasuk dirinya.

Mereka akan tampil pada pendengaran permohonan presiden Bersatu itu untuk mendapatkan kebenaran untuk menyemak semula Keputusan Mahkamah Rayuan yang dijadualkan di hadapan panel lima hakim Selasa ini.

Peguam yang lain terdiri daripada Datuk K. Kumaraendran, Rosli Dahlan, Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Dev Kumarendran, Low Wei Loke, Kee Wei Lon, Teh See Khoon, Joshua Tay, Siti Sumaiyyah Ahmad Jaafar, Lee Yee Woei, Tang Jia Yearn, dan Nur Fatin Hafiza Hasham.

Steven kembali ke Malaysia awal tahun ini dari United Kingdom (UK) dan telah menyertai firma guaman Tetuan Rosli Dahlan Saravanan Partnership.

Beliau mempunyai lesen sebagai pengamal undang-undang di kedua-dua UK dan Malaysia yang mengecualikan beliau daripada memerlukan kebenaran untuk hadir di hadapan hakim Mahkamah Malaysia.

Peguam Diraja adalah peguam kanan atau peguam bela yang telah diiktiraf kecemerlangannya dalam advokasi di UK.

Steven dilantik sebagai Peguam Diraja pada 2016 dan terkenal dengan sumbangannya sebagai Peguam Diraja yang pakar dalam undang-undang jenayah di London. Beliau ialah Peguam Diraja Malaysia pertama yang diterima masuk ke Mahkamah Tinggi pada 2019.

Pada 27 Mac lepas Muhyiddin memfailkan permohonan supaya mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan berkaitan salah guna kuasa terhadapnya, selepas Mahkamah Tinggi sebelum itu melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan berkenaan.

Muhyiddin, 77, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan