WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBOCORAN BAHAN KIMIA DIKESAN DI SOUTHERN SUPPORT ZONE SEPANG

04/07/2024 08:56 PM

SEPANG, 4 Julai (Bernama) -- Pasukan bomba sedang giat mengenal pasti bahan kimia yang bocor di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati pusat operasi telah dibuka sebagai kawalan risiko dengan beberapa jalan menuju ke tempat lokasi ditutup kepada orang awam.

Insiden kebocoran bahan kimia dipercayai gas metana itu dilaporkan berlaku pagi tadi.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dalam kenyataan memaklumkan Pusat Gerakan Operasi Negeri menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berkaitan kebocoran bahan kimia di lokasi berkenaan pada 11.23 pagi.

Berikutan itu, 23 pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA serta pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Shah Alam dan JBPM Negeri Sembilan digerakkan ke lokasi kejadian. 

Agensi lain yang terlibat dalam operasi itu termasuk Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), pasukan Aviation Security (AVSEC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan Air Side Safety. 

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Nur Khairi Samsumin  terdapat 20 mangsa mengalami pening kepala yang terdiri daripada petugas Sepang Aircraft, MAS Engineering Hangar dan CAE.

"Enam mangsa telah dihantar ke Unit Kecemasan Udara (ADU), manakala 13 orang lagi dibawa ke pusat perubatan terdekat dan seorang mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu tular di media sosial yang mendakwa berlaku kebocoran gas di kawasan berkenaan dan gambar yang menunjukkan sekumpulan individu berkumpul di satu lokasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan