WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN OLIMPIK 2024: INI SEMUA URUSAN TAKDIR - TZE LIANG

05/07/2024 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Penerjun negara Ooi Tze Liang menyerahkan segala-galanya kepada tuhan berhubung nasibnya untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Biarpun masih menunggu khabar dari Akuatik Dunia mengenai penyertaannya di Paris 2024, Tze Liang berkata dirinya sememangnya sudah bersedia dengan apa jua situasi termasuk bertanding buat kali kedua pada temasya sukan berprestij dunia itu selepas edisi Rio 2016 di Brazil.

“Ini semua di luar kawalan saya,  terpulang kepada tuhan, seandainya rezeki sudah tertulis saya sedia. Jika tiada, saya akan teruskan training dan buat persediaan untuk pertandingan lain. 

“Buat masa sekarang saya berlatih seolah-olah akan ke Sukan Olimpik 2024, memang sudah jalani persiapan ke Paris selepas pulang dari World Aquatic Championships 2024 di Doha lagi,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini hari ini.

Semalam, pengarah teknikal skuad terjun negara Bryan Nickson Lomas berkata atlet berusia 30 tahun itu mempunyai peluang dalam acara 3 meter (m) papan anjal lelaki sekiranya terdapat wakil negara lain yang layak menarik diri. 

Bryan berkata nasib Tze Liang ke Paris 2024 bakal diketahui pada 8 Julai ini menerusi pengesahan daripada Akuatik Dunia.

Tze Liang juara Sukan Komanwel Glasgow 2014, menamatkan saingan di kedudukan ke-22 bagi acara 10m platform lelaki sewaktu membuat kemunculan sulung di pentas Olimpik pada edisi Rio 2016.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Nur Dhabitah Sabri berharap tuah memihak Tze Liang untuk beraksi di Paris 2024.

“Tarikh (pengesahan Akuatik Dunia) sudah semakin hampir, kami pun berdebar dan mendoakan dia dapat pergi,” katanya.

Minggu lepas, Nur Dhabitah menerima slot tambahan bagi acara 3m papan anjal wanita untuk menemani penerjun muda Bertrand Rhodict Lises yang layak secara merit bagi 10m platform lelaki ke Sukan Olimpik 2024.

Setakat ini, 26 atlet mendapat lampu hijau untuk mewakili Malaysia di Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan