WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TUMPASKAN SINDIKET REKRUT 'PROGRAMMER' JUDI DALAM TALIAN

05/07/2024 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket perjudian yang merekrut individu berkemahiran dalam bidang pengatur cara perisian atau 'programmer' selepas 24 individu termasuk sembilan warga asing ditahan dalam serbuan di dua apartment di Jalan Tun Razak di sini bulan lepas.  

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata seramai 14 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 24 hingga 44 tahun ditahan pada 27 Jun lepas dalam serbuan itu selain merampas pelbagai barangan antaranya kad akses, komputer riba, telefon bimbit, ipad dan router.

Beliau berkata sindiket berkenaan merekrut individu dalam kalangan 'programmer' terdiri rakyat tempatan dan warga China dengan tawaran gaji sekitar RM5,000 hingga RM12,000.

“Mereka ini akan menghasilkan 'software' laman judi dalam talian yang menyasarkan pembeli atau pemain di luar negara yang boleh mencecah hingga RM50,000.

“Semakan juga mendapati warga China yang ditahan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini.

Mohamad Lazim berkata siasatan mendapati serbuan yang membabitkan dua sindiket berlainan itu aktif sejak enam bulan lepas dan berselindung di sebalik nama syarikat sah yang menawarkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

Sementara itu,  tiga lelaki berusia 21 hingga 28 tahun yang turut mempunyai rekod jenayah lampau ditahan pada 26 Jun lepas kerana disyaki terbabit kes curi motosikal di sekitar Taman Ibu Kota Setapak.

Polis turut merampas lima motosikal serta beberapa komponen dan dengan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan empat kes kecurian motosikal di kawasan Wangsa Maju.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan