WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AUG 2024: MOHAMMAD FIRDAUS DEDIKASI EMAS BUAT ARWAH BAPA

05/07/2024 02:35 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

MALANG (Indonesia), 5 Julai (Bernama) -- Atlet silat Mohammad Firdaus Mohd Israj menghadiahkan pingat emas dimenangi di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 kepada arwah bapanya yang meninggal dunia pada Ogos 2022, akibat sakit buah pinggang.

Pada aksi final di Universitas Muhammadiyah Malang hari ini, atlet kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tampil dalam kelas tersendiri apabila berjaya menundukkan pencabar terkuatnya dari Thailand, Soradet 56-28 dalam acara silat tanding lelaki.

Kemenangan hari ini, sekali gus menebus kekecewaan edisi lepas di Ubon Ratchathani, Thailand, yang menyaksikan beliau sekadar meraih gangsa susulan hilang fokus selepas dikhabarkan mengenai keadaan kesihatan bapanya ketika itu.

“Pingat emas ini saya dedikasikan kepada arwah ayah saya. Hari pertama saya tiba di AUG Thailand dulu, itu kali pertama ayah dimasukkan ke hospital...saya sudah tidak fokus kerana memikirkan ayah saya sakit.

“Ayah saya meninggal dunia semasa saya beraksi di Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) kerana sakit buah pinggang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengenai perlawanan hari ini, Mohammad Firdaus mengakui perlawanan begitu sengit kerana pencabarnya mempunyai kekuatan sepakan namun taktikal digunakan banyak membantu beliau menundukkan lawannya.

Semalam, Maizal Mazli Mansor dan Muhammad Azri Farhan Mohamad Azli menyumbang emas pertama kem silat negara menerusi acara silat seni kategori Ganda Putera selepas mengutip 9.940 mata.

Kontinjen negara setakat ini sudah mengutip 29 pingat emas, 33 perak dan 53 gangsa untuk berada di kedudukan ketiga carta pungutan pingat AUG 2024 di belakang Indonesia dan Thailand. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan