WILAYAH - SARAWAK > BERITA

536 PEMAIN BERENTAP DI KEJOHANAN BADMINTON MASTER JEMPUTAN SARAWAK

05/07/2024 03:04 PM

SIBU, 5 Julai (Bernama) -- Seramai 536 pemain berentap di Kejohanan Badminton Master Jemputan Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Sekolah Tinggi Katolik di sini hari ini hingga Ahad.

Presiden Persekutuan Badminton Cina Dunia (WCBF) Cabang Sibu Ting Wei Ping berkata kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM90,000 itu ditaja oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta mendapat sokongan Persatuan Badminton Sarawak dan WCBF.  

"Seramai 536 pemain telah mendaftar untuk bertanding. Ini sekali gus menjadikan jumlah paling ramai pemain badminton yang datang ke Sibu untuk beraksi dalam pertandingan badminton," katanya kepada pemberita di venue pertandingan hari ini.

Peserta yang beraksi pada kejohanan ini datang dari kelab-kelab di Australia, Brunei, China, Hong Kong, Indonesia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan juga Malaysia.

Sebanyak 59 kategori dipertandingkan membabitkan sejumlah 1,072 perlawanan.

“Kategori terbuka kejohanan ini akan menjadi tumpuan di mana pemain-pemain berusia 34 tahun ke bawah dan 35 tahun ke atas yang menawarkan hadiah RM5,000 kepada juara dan RM3,000 kepada naib juara.

Untuk kategori senior yang lain, hadiah wang tunai RM300 ditawarkan kepada juara.

Terdapat seramai enam pemain berusia 80 tahun ke atas dan mereka semua akan menerima pingat emas sebagai penghargaan kerana masih aktif bermain dan menyertai kejohanan di usia tersebut.

“Sebenarnya kejohanan ini dianjurkan untuk semua peringkat umur. Mereka akan bermain dalam kumpulan mereka sendiri. Sebagai contoh, jika anda berumur antara 50 hingga 54, jadi anda bermain dalam kategori itu,” kata Ting.

Orang ramai adalah dijemput untuk hadir bagi menyaksikan kejohanan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan