WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MEMACU PEMBANGUNAN DAN TADBIR URUS AI DEMI KEBAIKAN UMUM - PM LI

05/07/2024 03:54 PM

SHANGHAI, 5 Julai (Bernama-CMG) -- Sudah menjadi semakin mendesak bagi pelbagai negara untuk melakukan perbincangan secara mendalam, membina konsensus serta bersama-sama merebut peluang dan mengatasi cabaran ketika menghadapi trend pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Demikian dinyatakan Perdana Menteri China, Li Qiang semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan AI Sedunia 2024 (WAIC 2024) sempena Mesyuarat Peringkat Tinggi Tadbir Urus AI Global di sini pada Khamis.

 Li menyatakan bahawa AI telah berkembang menjadi penggerak penting bagi revolusi teknologi dan transformasi industri untuk pusingan baharu pada tahun-tahun kebelakangan ini, disokong oleh lonjakan teknologi yang dicapai berturut-turut, serta munculnya landskap urus niaga yang baharu dan aplikasi baharu yang semakin cepat. Bagaimanapun, juga muncul sejumlah soalan dan topik yang baharu pada aspek undang-undang, keselamatan, pekerjaan, tatasusila dan etika moral.

"China sejak sekian lama aktif dalam menyahut cabaran daripada revolusi AI, bertindak pantas melaksanakan siri langkah terbabit untuk menggalakkan pembangunan AI yang inovatif dan menekankan keselamatan dalam memperincikan tadbir urus AI. Inisiatif Tadbir Urus AI Global mengenai pembinaan kapasiti AI  yang telah diluluskan secara sebulat suara dalam sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, merupakan pendekatan dan cadangan China yang bersifat membina untuk memacu pembangunan dan tadbir urus AI dalam senario global," kata Li.

"China bersedia bekerjasama dengan negara lain untuk mendorong perkembangan AI ke arah yang lebih baik demi pembangunan global dan peningkatan kesejahteraan manusia.

"Saya mengemukakan tiga cadangan, iaitu memperkasakan kerjasama inovasi dan memanfaatkan dividen yang dibawakan AI, mendorong pembangunan demi kebaikan umum dan mengecilkan jurang perbezaan dalam bidang AI serta meningkatkan koordinasi dalam tadbir urus AI untuk melengkapkan matlamat pembangunan yang holistik," tambah beliau.

Deklarasi Shanghai mengenai Tadbir Urus AI Global turut dikeluarkan pada WAIC 2024.

Hadir sama, kira-kira 1,000 tetamu asing dan wakil dari pertubuhan antarabangsa, sektor korporat, universiti dan institut penyelidikan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan