WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JEMAAH ISLAMIYAH INDONESIA UMUM PEMBUBARAN, TAMATKAN AKTIVITI PELAMPAU SELAMA BEBERAPA DEKAD

05/07/2024 04:39 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Julai (Bernama) -- Jemaah Islamiyah (JI), sebuah rangkaian pelampau radikal yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, secara rasmi mengumumkan pembubarannya, menurut laporan media tempatan.

Keputusan untuk membubarkan JI dibuat melalui video berdurasi tiga minit 10 saat yang tersebar meluas, dirakam di Bogor, Jawa Barat.

Video itu memaparkan Abu Rusdan, seorang jurucakap utama JI membaca perisytiharan pembubaran sambil dikelilingi oleh 15 pemimpin utama organisasi berkenaan.

Kesahihan pengumuman itu yang dikeluarkan pada 30 Jun disahkan oleh badan pusat pemikir yang berpusat di Jakarta, Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC), serta beberapa pakar keganasan di Indonesia.

Dalam video itu, Abu Rusdan menyatakan bahawa keputusan itu disokong oleh anggota kanan majlis kepimpinan JI serta pemimpin institusi pendidikan gabungan dan sekolah berasrama Islam (pesantren).

Mereka juga mengumumkan rancangan untuk menyemak semula kurikulum pendidikan di pesantren berkenaan untuk menghapuskan ideologi ekstremis, selaras dengan prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah, undang-undang negara dan norma masyarakat.

Kumpulan itu menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang kepada kemajuan dan maruah Indonesia.

"Perkara berkaitan perjanjian itu akan dibincangkan dengan unit antikeganasan Densus 88 Ibu Pejabat Polis Republik Indonesia," kata Abu Rusdan.

Video itu juga menampilkan tandatangan 15 pemimpin lain: Para Wijayanto, Abu Mahmuda, Bambang Sukirno, Abu Fatih, Ustaz Zarkasih, Ustaz Shalahudin, Ustaz Fachrudin Soleh, Ustaz Saptono Munadi, Ustaz Abu Dujanah, Ustaz Qadri Faturrahman, Tengku Azhar, Ustaz Imtihan, Ustaz Hamad, Ustaz Mustaqim dan Ustaz Fahim, kesemuanya mengesahkan pembubaran JI.

Ditubuhkan pada awal 1990-an dengan aspirasi untuk menubuhkan ‘negara Islam’ yang merangkumi selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan selatan Filipina, JI mendapat kemasyhuran kerana penglibatannya dalam Pengeboman Bali yang tragis pada 12 Okt 2002.

Serangan itu menyasarkan beberapa kelab malam dan mengorbankan 202 nyawa, menyerlahkan aktiviti militan JI dan kaitannya di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan