WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LKAN: BERI KEUTAMAAN ASPEK PENGURUSAN, TATAKELOLA DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN

05/07/2024 05:56 PM

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap kementerian, jabatan dan agensi memberi keutamaan terhadap aspek pengurusan, tatakelola dan kebertanggungjawaban susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Bercakap pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu disuarakan Anwar pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini.

“Perkara ini juga terpulang kepada menteri masing-masing yang terkait dengan institusi, agensi dan jabatan yang diaudit untuk ambil tindakan susulan.

“Namun apa yang menjadi keutamaan Perdana Menteri adalah isu pengurusan atau tatakelola serta aspek kebertanggungjawaban dalam isu seperti dibangkitkan dalam LKAN,” katanya.

Beliau berkata laporan itu dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat awal minggu depan bagi memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk membahas, memberi pandangan atau sebarang tindakan terhadap LKAN.

“Pada masa yang sama sekiranya pihak Jabatan Audit Negara berpandangan terdapat apa-apa perkara yang perlu dipanjangkan atau dibawa perhatian badan penguatkuasaan seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah), itu tidak ada halangan,” katanya.

Merujuk kepada isu berkaitan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Fahmi berkata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong pada mesyuarat Jemaah Menteri telah memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa khususnya SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Pihak beliau (Steven Sim) telah menerima laporan mengenai isu dibangkitkan LKAN dan tidak menghalang sekiranya ada siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Media hari ini melaporkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menyerahkan laporan mengenai isu membabitkan HRD Corp kepada SPRM, selaras dengan syor yang dikemukakan dalam LKAN supaya kementerian membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.

Semalam Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 berkata KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan