WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TELUR, SUSU DAN SANTAN PALING LARIS DI JUALAN RAHMAH MADANI RAKYAT ZON TIMUR

07/07/2024 01:10 PM

KUANTAN, 7 Julai (Bernama) -- Tiga barangan asas Jualan Rahmah iaitu telur, susu dan santan adalah antara barangan paling laris sepanjang dua hari berlangsungnya Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur apabila jualannya habis dalam masa empat jam sebaik dibuka pada 9 pagi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Jezlily Jamaluddin berkata untuk telur sahaja sebanyak 2,600 papan telur terjual, santan (6,400 kotak) manakala susu sebanyak 5,600 tin terjual pada siri PMR di Dataran Sayangi Kuantan ini. 

“Tiga barangan Jualan Rahmah itu memang jualan hebat dan kita jangkakan pada hari akhir PMR hari ini, sambutannya dijangka meningkat lagi. Kuantiti bagi tiga barangan asas yang ditawarkan pada hari ini adalah telur sebanyak 1,300 papan, susu (2,800 tin) dan santan (3,200 kotak).

“Selain itu, barangan basah jualan hebat adalah ayam iaitu sebanyak 2,000 ekor terjual dalam tempoh empat jam sepanjang dua hari PMR,” katanya kepada Bernama, menambah hampir  6,000 pengunjung ke Jualan Rahmah MADANI KPDN dalam tempoh dua hari PMR.

Selain itu, tinjauan Bernama di khemah Jualan Rahmah MADANI turut mendapati pelbagai produk barangan asas lain turut laris dijual seperti pek Milo 1kilogram (kg), beras cap Faiza Emas 5kg dan minyak masak cap Buruh 2kg (masing-masing berharga RM14, RM15 dan RM10).

Kebanyakan pengunjung tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan di PMR dengan diskaun ditawarkan sebanyak 30 peratus yang memudahkan mereka mendapatkan barangan di bawah satu bumbung selain dapat berjimat.

Berkongsi kegembiraan itu seorang suri rumah Amira Afiff, 50, menyatakan keterujaannya sebaik melihat harga seekor ayam segar yang dijual di khemah Jualan Rahmah Agro MADANI hanya RM11 sedangkan di pasaran ada mencecah lebih RM15.

“Saya memasak untuk keluarga dan biasanya ayam memang akan saya beli dan perap mengikut sajian tertentu disimpan selama seminggu. Dengan harga ini, (RM11) saya tidak perlu risau untuk dua hingga tiga minggu akan datang," katanya yang membeli tiga ekor ayam segar.

Kerani pentadbiran D Subhashini, 34, mengambil peluang mendapatkan bekalan tepung gandum Cap Sauh (1kg), kicap Jalen (325mililiter) dan serbu pencuci pakaian Daia (2.1kg) yang dijual masing-masing pada harga RM2.10, RM3.50 dan RM12.90.

“Saya tinggal  bersama suami dan tiga anak kami serta ibu saya. Anda boleh bayangkan betapa cepatnya barang-barang yang saya beliu di sini habis. Bukan itu sahaja, diskaun yang ditawarkan di sini pastinya lebih mesra poket dan akaun bank,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan