WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISTERI TYT SABAH SANTUNI BAYI MAAL HIJRAH DI HOSPITAL PAPAR

07/07/2024 06:53 PM

PAPAR, 7 Julai (Bernama) -- Isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni mengadakan lawatan ke Hospital Papar di sini bagi menyantuni bayi yang dilahirkan pada Maal Hijrah hari ini.

Dalam lawatan selama kira-kira 30 minit itu, beliau turut menyampaikan sumbangan dan barangan bayi kepada ibu-ibu yang baru melahirkan cahaya mata. 

Bagi Dayang Nuraqilah Farah Hani A Idris, 29, kegembiraan berganda buat dirinya kerana bukan sahaja selamat melahirkan bayi sempena Awal Muharam hari ini tetapi turut bertuah apabila berpeluang bersemuka dengan Norlidah.

Suri rumah itu selamat melahirkan bayi perempuan yang juga cahaya mata keduanya seberat 2.39 kilogram (kg) kira-kira 10 pagi selepas dimasukkan ke hospital pada 8 pagi hari ini.

"Toh Puan sempat pesan supaya pastikan bagi bayi saya susu ibu," katanya kepada Bernama selepas Program Ziarah Hospital Kelahiran Bayi Hijrah di sini hari ini.

Berasal dari Kampung Kelatuan, Papar ibu kepada dua cahaya mata itu menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan yang diberikan dan menyifatkan ia rezeki anak. 

"Alhamdulillah semua (proses bersalin) dipermudah dan terima kasih juga kepada Toh Puan" katanya yang masih belum memilih nama untuk si kecilnya. 

Herouveira Vianna Heronic, 33, yang melahirkan cahaya mata keduanya seberat  2.91kg  pada 11.20 pagi semalam turut teruja menerima kunjungan isteri Yang Dipertua itu. 

"Toh Puan mengucapkan tahniah atas kelahiran bayi saya dan saya sudah boleh keluar wad petang ini," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan