WILAYAH - UTARA > BERITA

UNIMAP METERAI MOA, MOU BERSAMA DUA UNIVERSITI KOREA SELATAN

11/07/2024 02:14 PM

KANGAR, 11 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua institusi pendidikan tinggi Korea Selatan baru-baru ini dalam usaha memperkasakan hasrat pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata MoA yang dimeterai itu adalah dengan Pukyong National University (PKNU) manakala MoU, bersama Dong-Eui University (DEU) yang kedua-dua universiti itu berada di Busan, Korea Selatan.

“Kolaborasi UniMAP-PKNU membuka peluang bagi melaksanakan program Ijazah Berkembar peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah melalui mod penyelidikan sebagai usaha memperkasakan hasrat pendidikan tinggi negara.

“PKNU adalah sebuah institusi pendidikan tinggi di Korea Selatan yang ditubuhkan pada 1996 dengan kepakaran dalam Sains Marin serta Kejuruteraan dan Teknologi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaliman mewakili UniMAP bagi menandatangani MoA dan MoU itu manakala PKNU diwakili Naib Presidennya Prof Dr Youngbok Kim dan DEU diwakili Dekan Hubungan Antarabangsa Dr Gumkwang Bae.

Zaliman berkata MoU bersama DEU itu pula untuk memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak yang terjalin sejak 2018 melalui program UniMAP Korean University Student Travel Programme (UniKU) iaitu program mobiliti antarabangsa pelajar melibatkan pertukaran pembelajaran bahasa dan budaya.

Beliau berkata untuk tahun ini, seramai 24 pelajar UniMAP akan terlibat dengan UniKU bagi tempoh tiga minggu bermula Ogos nanti.

“Justeru, jalinan yang diperkukuhkan menerusi MoU ini diharapkan dapat meningkatkan lagi program-program akademik dan mobiliti antarabangsa yang boleh memberi impak kepada kedua-dua institusi pendidikan tinggi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan