WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DASAR PENDIDIKAN SARAWAK TIDAK BEZAKAN KAUM - ABANG JOHARI

11/07/2024 07:33 PM

MIRI, 11 Julai (Bernama) -- Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini berkata kerajaan Sarawak tidak mengamalkan dasar membezakan kaum dalam pendidikan malah menyalurkan bantuan kepada semua sekolah bagi memastikan rakyat mendapat pendidikan sebaiknya.

Beliau berkata apa yang penting adalah menyediakan anak-anak negeri ini dengan pendidikan terbaik tanpa mengambil kira sama ada melalui sekolah Cina, sekolah awam atau sekolah antarabangsa.

“Dasar pendidikan kita tidak memberikan penekanan berdasarkan kaum. Pendidikan mana ada kaum. Kepandaian itu tidak mengenal kaum dan kalau mahu pandai kita mesti belajar,” katanya pada Majlis Perasmian SJK(C) Chiaw Nan di sini hari ini.

Beliau berkata Sarawak mengorak langkah menerokai ekonomi baharu yang berteraskan teknologi tinggi dan anak-anak negeri ini harus dilengkapi dengan pengetahuan moden khususnya dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Ekonomi kita mesti bertaraf tinggi supaya tidak berlaku hijrah cendekiawan. Kemudian pelajar kita akan bekerja dalam ekonomi baharu ini berdasarkan pengetahuan mereka,” katanya.

Sarawak juga mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) dan mereka yang mempunyai sijil itu boleh memohon memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri jika gagal mendapatkan tempat di IPT lain di Malaysia.

Beliau berkata pengajian percuma di IPT milik kerajaan negeri yang bakal dilaksana pada 2026 akan menyediakan lebih banyak ruang kepada anak-anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan