WILAYAH - TIMUR > BERITA

LEBIH 300 MAJIKAN MOHON SERTAI PROJEK RINTIS DASAR GAJI PROGRESIF

13/07/2024 02:05 PM

KOTA BHARU, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia sudah menerima 362 permohonan daripada majikan yang ingin menyertai projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) sejak ia diperkenalkan pada Jun lepas.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata setakat semalam, 867 majikan telah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah itu, 362 majikan mengemukakan permohonan untuk menyertai projek rintis DGP.

Beliau berkata sektor yang memohon projek rintis itu antaranya perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, aktiviti profesional saintifik dan teknikal, pembuatan, pembinaan, maklumat dan komunikasi.

“Kerajaan telah menetapkan matlamat bagi menambah baik struktur gaji dan upah pekerja sektor swasta melalui pelaksanaan DGP, malah pengenalan dasar baharu ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang dikaitkan dengan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2024 di sini hari ini.

Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP bermula Jun hingga Ogos ini termasuk pembayaran insentif kepada 1,000 majikan.

Pembayaran insentif kepada majikan dijangka pada Oktober depan apabila majikan mengemukakan tuntutan yang memenuhi syarat ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan