WILAYAH - UTARA > BERITA

INSIDEN TERMAKAN KEROPOK BERACUN: "WAKE-UP CALL" BUAT KKM

13/07/2024 11:24 PM

KUALA PERLIS, 13 Julai (Bernama) -- Kejadian dua kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah menjadi peringatan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menumpukan usaha memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi penggunaan serta penjualan racun seumpama itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kejadian itu mengingatkan pihaknya terutama penguat kuasa agar memberikan perhatian terhadap bahaya racun tersebut kepada manusia kerana mempunyai toksisiti yang sangat tinggi hingga boleh membawa maut.

"… ia ‘wake-up call' mengingatkan kita terutama penguat kuasa KKM bagaimana peraturan ataupun SOP perlu kita perketatkan dari sudut penggunaan dan penjualan (racun sedemikian)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan sesi 'walkabout' premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Makanan Laut di sini malam ini.

Laporan media menyatakan Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, berada dalam kritikal selepas termakan keropok yang disyaki mengandungi racun tikus di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim pada Ahad lepas.

Kedua-dua beradik malang itu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum Muhammad Akil Syauqi menghembuskan nafas terakhir pada pagi Rabu lepas, disusuli Muhammad Luth Syauqi tengah hari semalam. 

Dr Dzulkefly berkata usaha untuk memperketatkan SOP itu juga akan melibatkan kerjasama KKM dengan agensi lain berkaitan.

Sementara itu, beliau berkata 122 operasi di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dilaksanakan di Perlis dari Januari hingga Jun lepas, dengan 1,503 notis kesalahan telah dikeluarkan.

"Daripada jumlah itu, 186 notis kesalahan adalah di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 berkaitan larangan merokok di tempat makan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan