WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YSR PERLU BEBAS AGENDA POLITIK, TITAH SULTAN IBRAHIM JADI PEGANGAN

14/07/2024 10:07 AM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

JOHOR BAHRU, 14 Julai (Bernama) -- Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) sentiasa berpegang kepada peringatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya perlu sentiasa bebas daripada agenda politik demi membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf hidup masyarakat India di Johor. 

Pengerusinya Datuk R. Sugumaran berkata YSR yang ditubuhkan pada 2015 sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor memfokuskan kepada kebajikan, pendidikan serta keusahawanan dan perniagaan sebagai usaha untuk memperkasakan masyarakat di negeri itu. 

"Tuanku melantik saya dan telah menitahkan supaya yayasan ini tidak menghala kepada urusan politik dan sebagainya. Yayasan ini mestilah satu badan ataupun yayasan yang berdiri sendiri tidak berkait dengan mana-mana pihak," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini baru-baru ini. 

Sugumaran yang juga Pegawai Peribadi Sultan Ibrahim berkata bersandarkan amanat Seri Paduka Baginda, beliau telah melantik ahli lembaga pengarah terdiri daripada golongan profesional untuk mentadbir yayasan berkenaan.

"YSR ada seorang (ahli lembaga pengarah) doktor untuk hal ehwal berkaitan perubatan dan kesihatan, kita ada seorang profesor yang berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk akademik dan pelajaran, seorang peguam yang terkenal di Johor untuk bantuan guaman dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata untuk bidang keusahawanan dan perniagaan, ahli lembaga pengarah YSR turut terdiri daripada ahli perniagaan berjaya selain Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar.

"Raven Kumar menjadi ahli lembaga pengarah supaya kita dapat memahami kehendak rakyat yang disampaikan kepada beliau untuk kita teliti," katanya.

Sugumaran yang dilantik sebagai Pengerusi YSR pada Oktober 2022 berkata yayasan berkenaan menerima dana RM1 juta daripada kerajaan Johor setiap tahun untuk melaksanakan pelbagai program bagi membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf hidup masyarakat India.

"Pada 2023, kita telah belanja RM1 juta, kita memberikan 60 peratus kepada pendidikan, 30 peratus kepada kebajikan dan 10 peratus keusahawanan dan perniagaan," katanya. 

Menurut Sugumaran nama YSR diilhamkan sempena nama seorang daripada Sultanah Johor iaitu Sultanah Rogayah yang berketurunan India.

Beliau berkata YSR bersama empat lagi yayasan iaitu Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor telah diiktiraf sebagai Yayasan-Yayasan Diraja Johor oleh Sultan Ibrahim pada 5 Julai tahun lepas bagi memenuhi keperluan dan demografi berbeza.

Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai dan bersempena dengan istiadat itu, BERNAMA TV akan menyiarkan dokumentari “Di Sebalik Mahkota” pada 19 Julai ini.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan