WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JKNT NAFI PENINGKATAN KES ROTAVIRUS

15/07/2024 01:34 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan terdapat peningkatan kes rotavirus di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) seperti yang tular di laman sosial dua hari lalu.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata siasatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu mendapati hanya dua kes dilaporkan iaitu pada 7 dan 13 Julai lalu melibatkan kanak-kanak.

Bagaimanapun beliau berkata pesakit berkenaan berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang setelah diberikan rawatan berkaitan.

"Terdapat dakwaan di laman sosial Facebook pada 13 Julai lalu yang mendakwa terdapat peningkatan kes rotavirus di HSNZ dan ia dibimbangi akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

"Siasatan lanjut mendapati dua kes sahaja telah disahkan mendapat jangkitan iaitu pada minggu Epidemiologi ke-28," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Dr Kasemani berkata rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan sistem pencernaan dan boleh berjangkit sama ada melalui makanan tercemar, sentuhan secara langsung dengan individu dijangkiti dan peralatan atau alat mainan yang tercemar.

Menurut beliau bagi pesakit dewasa, gelaja yang dialami adalah ringan berbanding kanak-kanak yang boleh menyebabkan demam, cirit-birit dan muntah teruk.

"Sehubungan itu orang awam dinasihatkan supaya sentiasa mencuci tangan selepas menggunakan tandas, menukar lampin anak dan menyediakan makanan.

"JKNT akan sentiasa memantau perkembangan terkini jangkitan rotavirus serta penyakit berjangkit lain. Di samping itu kami juga meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan secara berterusan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan