WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HANTARAN SENTUH ISU 3R DI TIKTOK, MCMC SIASAT PENJAWAT AWAM

15/07/2024 07:49 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Seorang penjawat awam disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas dipercayai mengeluarkan hantaran jelik melibatkan elemen 3R iaitu agama, kaum dan raja di akaun TikTok miliknya.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan lelaki berusia 29 tahun itu telah disoal siasat oleh pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani, Kedah pada Khamis lepas. 

“MCMC telah menemukan akaun TikTok yang disiasat pada telefon pintar suspek. Kesemua barangan kes yang berkaitan dirampas dan disita untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan pihaknya telah menyerahkan Notis Kehadiran pada hari yang sama kepada lelaki berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kes disiasat mengikutSeksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, menurut MCMC.

Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komunikasi yang bertentangan dengan undang-undang khususnya kandungan melibatkan 3R yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.

“Penjawat awam juga diingatkan untuk tidak menggunakan media sosial bagi tujuan menyebarkan mesej yang melanggar undang-undang negara seperti yang terkandung dalam peringatan berkaitan arahan larangan membuat pernyataan awam oleh pegawai awam,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan