WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JKDM SELANGOR RAMPAS E-BIKE, ARAK, KENDERAAN BERNILAI RM4.74 JUTA

16/07/2024 01:25 PM

KLANG, 16 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) merampas e-bike pelbagai jenis, minuman keras serta kenderaan bernilai RM4.74 juta dalam operasi berasingan di sekitar Pelabuhan Barat dan Utara dekat sini dan Lembah Klang baru-baru ini. 

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah Norlela Ismail berkata 79 unit e-bike jenis skuter bernilai RM169,450 dirampas susulan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Utara pada 3 Julai lepas.

Beliau berkata barangan itu disorok di antara barang alat ganti kenderaan, pakaian dan peralatan perkakasan yang tidak dikira bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Semakan lanjut mendapati premis yang digunakan sebagai alamat dalam Borang Kastam No. 1 juga tidak wujud dan telah ditutup beberapa tahun lepas," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam kes berasingan JKDM turut merampas lapan buah motosikal elektrik dan 375 liter minuman keras yang masing-masing bernilai RM5,250 dan RM55,373 daripada sebuah kontena di Pelabuhan Barat pada 28 Julai.

Norlela berkata semakan dengan Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan syarikat terbabit tidak mempunyai permit import dan ketika pemeriksaan dilakukan barangan ditemukan disembunyikan di sebalik perabot dan barangan dapur. 

"Motosikal elektrik adalah barang larangan yang pengimportan dibenarkan dengan syarat mempunyai permit import dari MITI dan syarat itu dijelaskan di bawah Butiran 7, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. 

"Minuman keras pula barang larangan yang pengimportan dibenarkan dengan syarat di bawah Butiran 67, Bahagian 1, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya. 

Beliau berkata serbuan ke atas sebuah gudang penyimpanan kenderaan di Pelabuhan Barat pada 3 Julai lepas JKDM menemukan sebanyak 15 unit penggerak utama (prime mover) dan satu unit lori tangki air bernilai RM3.97 juta.

Norlela berkata penggerak utama dan lori tangki air itu telah disimpan selama empat tahun di Zon Bebas di kawasan sama dan pengimport gagal mengemukakan permit import dari MITI bagi kenderaan terbabit. 

Penggerak utama dan lori tangki air adalah barang larangan yang pengimportan dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 8 dan Butiran 9, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.  

Norlela berkata pihaknya turut merampas empat unit kenderaan import pelbagai jenis bernilai RM533,400 selepas menyerbu sebuah gudang dan premis di sekitar Lembah Klang pada 26 Jun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan