WILAYAH - TIMUR > BERITA

JKDM PAHANG RAMPAS ROKOK, MINUMAN KERAS BERNILAI RM579,134

18/07/2024 02:58 PM

KUANTAN, 18 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang telah menahan empat individu dan merampas rokok serta minuman keras pelbagai jenama bernilai RM579,134 termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman, Terengganu.

Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata mereka yang ditahan bagi membantu siasatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang bekerja di premis perniagaan yang telah diperiksa pada 3 Julai lepas. 

Beliau berkata pemeriksaan di premis pertama sekitar 11.30 pagi menemukan 84,808 batang rokok dan 1,187.32 liter minuman keras bernilai RM92,950 termasuk cukai dan duti selain menahan dua orang pekerja di situ.

"Dalam serbuan di premis kedua pada waktu sama, pihak kastam menemui 49,220 batang rokok dan 1,062.27 liter minuman keras pelbagai jenama dengan nilai termasuk cukai serta duti berjumlah RM93,842 serta menahan seorang pekerja.   

"Kita kemudiannya memeriksa sebuah lagi premis pada 11.40 pagi di kawasan sama lalu menjumpai 176,484 batang rokok dan 2,683.33 liter minuman keras bernilai RM392,341 termasuk cukai dan duti serta menahan seorang pekerja," katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini hari ini.

Mohd Asri berkata pihaknya percaya modus operandi ketiga-tiga sindiket penyeludupan berkenaan ialah membawa masuk barangan melalui jalan laut sebelum disimpan di dalam premis perniagaan terbabit untuk dipasarkan kepada warga China yang bekerja di Kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman.

"Selain penahanan empat pekerja di premis perniagaan itu dengan salah seorangnya adalah pemastautin tetap, kita cuba mengesan dan memanggil pemilik syarikat terlibat bagi membantu siasatan lanjut," katanya.   

Beliau berkata kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan