WILAYAH - TIMUR > BERITA

SULTAN PAHANG KURNIA SUMBANGAN KEPADA KELUARGA NUR FARAH KARTINI

19/07/2024 04:26 PM

KUANTAN, 19 Julai (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kurniaan itu disampaikan paduka anakanda Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang menziarahi kediaman kakak ipar Allahyarham di Kampung Nyiur Manis, Pekan hari ini.

"Tengku Amir Nasser yang tiba pada 11 pagi meluangkan masa kira-kira setengah jam menyantuni ibu Allahyarham, Salmah Abdullah serta ahli keluarga lain yang turut berada di rumah berkenaan sebelum menyampaikan sumbangan,” menurut hantaran itu.

Tengku Amir Nasser turut menzahirkan ucapan takziah serta berharap ibu serta seluruh ahli keluarga Nur Farah Kartini bersabar dengan ujian yang diterima.

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan pada 5.20 petang semalam di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan