WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dasar Perkapalan Baharu Malaysia Harus Kurangkan Kebergantungan Kepada Kapal Asing

28/07/2024 12:05 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Dasar perkapalan negara baharu bukan sahaja harus menggalakkan pembangunan armada (kapal) domestik untuk mengurangkan kebergantungan kepada kapal asing tetapi juga menyediakan lebih banyak pembiayaan untuk memodenkan dan mempercepatkan peralihan kepada perkapalan hijau (mesra alam sekitar).

Pemain industri berkata dasar itu harus menyediakan syarikat kapal Malaysia untuk mengemudi dinamik peralihan perdagangan global dan persekitaran yang tidak menentu disebabkan oleh keadaan tidak diduga seperti konflik serantau.

Mereka juga berharap dasar baharu itu dijangka dibentangkan kepada kabinet menjelang akhir tahun akan memberi tumpuan kepada peningkatan kapal Malaysia dan tidak bergantung kepada kapal asing.

Pada 4 Julai lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa dasar perkapalan negara akan diperkenalkan untuk membimbing sektor perkapalan tempatan dalam eksport dan import serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Ia adalah pengumuman yang tepat pada masanya, kerana Pelan Induk Perkapalan Malaysia (MSMP) 2017-2022 telah dilancarkan lima tahun lalu dan dijangka untuk semakan kerana pihak industri masih kurang belum memenuhi sasarannya.

 

Kedudukan Maritim Strategik Terkesan berikutan Kebergantungan kepada Kapal Asing

Memandangkan lokasinya yang strategik di Selat Melaka yang sibuk dan sebahagian daripada laluan di Laut China Selatan, Malaysia telah lama bercita-cita untuk menjadi hab maritim utama di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, ia amat bergantung kepada kapal asing yang membawa kepada defisit perkhidmatan pengangkutan sebanyak RM7.80 bilion pada suku pertama 2024.

Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Perkapalan Malaysia, Ooi Lean Hin berkata Malaysia harus menyusun strategi dan meningkatkan perkapalan domestik dalam dasar yang disemak, yang, ia adalah perkara wajar dilakukan kerana Malaysia sangat bergantung kepada kapal asing untuk perdagangan maritim.

Beliau mengambil contoh krisis di Laut Merah, kumpulan Houthi di Yaman menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel, ia menunjukkan ketegangan geopolitik memberi kesan industri perkapalan Malaysia kerana ia membawa kepada peningkatan permintaan dan harga penghantaran.

Kira-kira 15 peratus daripada trafik perkapalan dunia termasuk 30 peratus daripada perdagangan kontena global akan melalui Terusan Suez dan Laut Merah.

Gangguan tersebut telah menyebabkan syarikat perkapalan utama seperti Hapag Lloyd, CMA-CGM, Cosco-OOCL, MSC dan Maersk mengubah laluan kapal untuk mengelakkan melalui Laut Merah dan Terusan Suez.

Pada mulanya syarikat perkapalan menggantung perkhidmatan mereka di Laut Merah (menghentikan sementara menggunakan laluan berkenaan), kini mereka mempertimbangkan laluan alternatif, mengakibatkan kos penghantaran yang melambung tinggi dengan kadar pengangkutan laut antara pelbagai wilayah meningkat dengan ketara.

Ketegangan yang semakin meningkat telah menyebabkan kira-kira 95 peratus kapal mengalihkan laluan sekitar Tanjung Harapan di Afrika Selatan, menambah hampir 4,000-5,000 batu nautika dan mengambil masa perjalanan antara 15 hingga 20 hari.

Setakat 18 Januari 2024, sebanyak 158 kapal telah mengubah laluan, tidak menggunakan laluan Laut Merah, membawa lebih 2.1 juta kontena kargo.

“Syarikat perkapalan utama akan menukar laluan perkhidmatan mereka untuk memberi perkhidmatan kepada laluan alternatif yang kini sangat menguntungkan ini ke pelabuhan berhampiran kawasan konflik, dan mereka yang menyediakan perkhidmatan laluan domestik kita akan menukar atau menamatkan perkhidmatan mereka untuk menyediakan laluan ini,” kata Ooi.

Syarikat perkapalan tempatan juga mengadu bahawa kapal asing tidak mengutamakan barangan Malaysia yang menimbulkan ancaman besar kepada rantaian bekalan negara.

Bagaimanapun, Malaysia boleh mengharungi situasi ini dengan menubuhkan tanan negara sekali gus menyokong ekonomi domestik, katanya.

Bagi menangani cabaran ini, Ooi menyeru kerajaan memainkan peranan penting dengan menggariskan dasar jelas yang menggalakkan dan memberi insentif kepada pengeksport dan pengimport untuk memberi keutamaan kepada tanan Malaysia untuk menghantar barangan mereka.

 

Hapuskan Kekangan Pembiayaan dan Perkenalkan Armada Malaysia

Kerajaan harus menghapuskan halangan bagi pemilik kapal untuk mendapatkan pinjaman luar pesisir.

"Ini akan membolehkan pemilik memanfaatkan pilihan pinjaman luar pesisir kerana bank tempatan pada umumnya mengelak daripada pembiayaan kapal,"  kata Ooi.

Menyuarakan sentimen itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Mohamed Safwan Othman berkata MASA juga telah membentangkan mekanisme pembiayaan alternatif kepada Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan dan sepatutnya dapat memuktamadkan butirannya menjelang akhir tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut mengenai mekanisme pembiayaan itu.

Selain itu, kedua-dua Ooi dan Mohamed Safwan mencadangkan supaya Malaysia menubuhkan armadanya sendiri.

“Dengan memiliki armada sendiri, Malaysia boleh mengurangkan gangguan dengan mengekalkan laluan perdagangan dan bekalan,” kata Ooi.

Mohamed Safwan berkata kebanyakan kargo strategik seperti produk petroleum, minyak sawit dan arang batu diangkut oleh kapal asing.

"Kami mencadangkan agar mempunyai dasar yang betul untuk menggunakan armada Malaysia. Selain itu, sokongan bank tempatan Malaysia adalah penting," katanya.

Tiada dana khusus diperuntukkan untuk industri maritim dalam Belanjawan 2024.

Di bawah Belanjawan 2023, Skim Maritim dan Logistik RM1 bilion telah diumumkan yang meningkatkan pertumbuhan industri maritim dan mempercepatkan peralihan industri kepada perkapalan hijau.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan