WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN masih blok penting di peringkat antarabangsa - Mohamad

28/07/2024 12:28 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 28 Julai (Bernama) -- Kehadiran negara-negara kuasa dunia pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM ke-57) dan Mesyuarat Berkaitan di Laos, jelas menunjukkan ASEAN masih sebuah blok penting di peringkat antarabangsa.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kehadiran rakan-rakan dialog ASEAN dan juga bukan dialog ini membuktikan kepentingan ASEAN dalam mencorak landskap geopolitik global masa kini. 

"Kehadiran negara-negara Rakan Dialog ASEAN dan rakan luar yang lain di persidangan ASEAN ini adalah manifestasi kepada keupayaan ASEAN sebagai “convening power (kuasa menghimpunkan)” yang berupaya membawa kuasa-kuasa dunia dan serantau ke meja rundingan.

"ASEAN merupakan blok yang amat penting yang boleh mencorakkan politik dunia atau boleh menentukan hala tuju dunia," katanya kepada media Malaysia selepas AMM ke-57 menutup tirai Sabtu.

Sementara itu, Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat AMM ke-57 yang bermula pada Rabu itu juga menyatakan kesyukuran kerana kesemua 19 mesyuarat anggota ASEAN serta sembilan mesyuarat dengan rakan-rakan negara ASEAN dan pelbagai dialog, telah berjalan dengan baik.

AMM ke-57 itu dihadiri semua Menteri Luar negara anggota ASEAN kecuali Vietnam yang diwakili Timbalan Menteri Luarnya Do Hung Viet manakala Myanmar oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Aung Kyaw Moe.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Luar Rakan Dialog ASEAN, termasuk Setiausaha Luar Amerika Syarikat Antony Blinken, Menteri Luar China Wang Yi, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, Setiausaha Luar United Kingdom David Lammy dan Perwakilan Tertinggi Hal Ehwal Luar Negara dan Dasar Keselamatan EU, Josep Borrell-Fontelles.

Selain persidangan ASEAN Bersama negara-negara berkepentingan, beliau berkata Malaysia turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin-pemimpin dari Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India,  Norway, Korea Selatan, Turkiye dan United Kingdom.  

Beliau berkata beberapa perkara penting seperti mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), isu Laut China Selatan, serta isu-isu politik serantau dan antarabangsa, telah dibincangkan dan mendapat persetujuan negara anggota ASEAN.

Katanya semua negara anggota ASEAN telah bersetuju supaya Asia Tenggara ini kekal sebagai kawasan bebas nuklear dan bebas ancaman senjata nuklear.

"ASEAN turut mengesa negara-negara yang mempunyai senjata nuklear untuk menandatangai Perjanjian SEANWFZ dalam usaha mencapai persefahaman yang sama dirantau ini," katanya.

Mengenai AICHR, Mohamad berkata isu kekejaman terhadap rakyat Palestin dan konflik yang berlaku di Myanmar telah hangat diperbincangkan. 

"Seperti rakan-rakan ASEAN yang lain, Malaysia mahukan kekejaman terhadap rakyat Palestin dihentikan, selain juga kembali semula dasar demokrasi kepada rakyat Myanmar dengan mengadakan pilihan raya yang bebas disertai oleh semua pihak berpentingan," katanya.

Dalam isu Laut China Selatan, Mohamad berkata semua pihak bersetuju untuk meredakan ketegangan.

"Alhamdulillah, China telah adakan persetujuan dengan Filipina mengenai Laut China Selatan untuk meredakan keadaan. Anggota negara ASEAN ini mahu melihat Laut China Selatan ini sebagai laut bebas," katanya.

Secara keseluruhan, Mohamad berkata Malaysia telah memainkan peranan aktif mencari kesepakatan ASEAN di dalam isu-isu berkepentingan bersama.

"Ini terbukti melalui cadangan-cadangan Malaysia yang telah diterima pakai oleh Negara-negara Anggota ASEAN yang lain," katanya

Beliau berkata Malaysia akan terus menyokong sepenuhnya kepengerusian ASEAN oleh Laos, dan bekerjasama rapat dengan Laos dan negara-negara ASEAN lain untuk terus mencapai kemajuan dalam usaha pembinaan Komuniti ASEAN.

"Dengan mengambil kira bahawa negara akan mempengerusikan ASEAN pada 2025, Malaysia akan terus mengekalkan momentum yang positif ini, dan memastikan bahawa suara Malaysia terus lantang di persada antarabangsa  

"Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan Negara-negara Anggota ASEAN untuk menjadikan ASEAN satu blok penting dalam sistem politik dan ekonomi global dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki oleh setiap negara anggotanya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan