WILAYAH - UTARA > BERITA

SUKMA: Skuad E-sukan P. Pinang Yakin Bawa Pulang Satu Pingat Emas

28/07/2024 03:11 PM

GEORGE TOWN, 28 Julai (Bernama) -- Berbekalkan pengalaman menyertai pertandingan PUBG Mobile di seluruh Malaysia, pasukan e-sukan Pulau Pinang yakin dapat ‘menuai’ sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Pulau Pinang Mohamad Khir Md Noor berkata keyakinan itu ekoran prestasi meraih tempat kedua pada kejohanan peringkat kebangsaan ‘Felda Nation E-sports Championship - PUBG Mobile’ anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) baru-baru ini.

“Selain menimba pengalaman, menyertai pertandingan seperti ini membolehkan mereka mendapatkan dana yang boleh digunakan untuk perjalanan ke Sarawak nanti,” katanya kepada Bernama.

Bagi latihan harian, beliau berkata pihak persatuan menyediakan keperluan untuk para atlet berlatih di rumah masing-masing bagi memudahkan proses latihan tanpa memerlukan mereka berada di hab persatuan.

Mohamad Khir berkata kontinjen Pulau Pinang juga memastikan mental dan emosi atlet berada dalam keadaan terbaik kerana e-sukan agak berbeza dengan sukan lain.

Pulau Pinang mempertaruhkan 26 atlet dalam lima acara yang dipertandingkan iaitu Mobile Legends Bang BangPlayerunknown’s Battleground Mobile (PUBG Mobile), E-Football 2024 ConsoleTekken 8 dan Racing Simulator (Time Attack, Single dan Team of Two Driver).

Pada temasya dwitahunan kali ini, saingan e-sukan yang akan berlangsung di Kampus Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dari 20 hingga 24 Ogos ini, menawarkan keseluruhan 21 pingat menerusi tujuh kategori.

Mohamad Khir berkata pihaknya mula membuat pemilihan atlet pada hujung tahun lepas yang melibatkan banyak proses tapisan dan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang sebelum nama-nama atlet tersebut dimasukkan ke dalam senarai panjang untuk menjadi pemain.

Beliau berkata pemain berkenaan diangkat sebagai atlet SUKMA negeri selepas berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan seperti mendapat tempat empat teratas dalam setiap pertandingan yang mereka sertai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan