WILAYAH - SARAWAK > BERITA

N. Sembilan Sasar Hasil Jualan RM7 Juta Menerusi NS Fest 2024

28/07/2024 04:45 PM

NILAI, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan hasil jualan berjumlah RM7 juta pada program Negeri Sembilan Fest (NS Fest) 2024 selama lapan hari bermula semalam, di Dataran Nilai di sini selepas mencatatkan jualan RM3.6 juta tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun optimis sasaran itu mampu dicapai menerusi pelbagai aktiviti menarik yang dirancang sepanjang program tersebut, selain terdapat kira-kira 250 reruai membabitkan produk makanan, kraftangan dan pameran.

“Ini merupakan tahun ketiga penganjuran NS Fest dan saban tahun pasti ada nilai tambah terhadap program ini. Tahun lepas kita berjaya tarik 500,000 pengunjung dalam masa empat hari, melihat kepada sambutan menggalakkan itu, insya-Allah, tahun ini kita sasarkan 700,000 pengunjung.

“NS Fest kini menjadi acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan. Ia pastinya meningkatkan kesan limpahan ekonomi melalui pemerkasaan ekonomi sektoral, industri huluan dan hiliran serta ekosistem pelancongan selain Nilai yang berada berdekatan dengan Lembah Klang boleh menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon di sini hari ini.

Aminuddin berkata penganjuran NS Fest itu juga bagi mewujudkan program penjenamaan yang sinonim dengan Negeri Sembilan, sekali gus menjadi tarikan bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah negeri lain.

Selain itu, beliau berkata NS Fest juga bertujuan menyelaraskan kesemua program berskala kecil atau sederhana, yang dilaksanakan agensi dan jabatan kerajaan negeri secara bersepadu supaya dapat menghasilkan impak lebih berkesan.

Seperti kelaziman, beliau berkata NS Fest menggabungkan tiga program utama peringkat negeri iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNS), Bulan Usahawan Negeri Sembilan (Arena Usahawan) dan Negeri Sembilan Food Fest (NS Food Fest).

Beliau berkata program itu juga bertepatan dan selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh rantaian nilai sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), melonjak pertanian dan industri makanan serta mengoptimumkan potensi pelancongan di negeri itu.

Aminuddin berkata selain penganjurannya yang julung kali diadakan selama lapan hari berbanding empat hari tahun sebelumnya, antara tarikan lain program tersebut ialah ia turut diadakan bersekali dengan program Perpatih Fest yang akan dilancarkan esok.

“Melalui Perpatih Fest ini, masyarakat dapat mengenali pelbagai adat di negeri ini dengan lebih dekat, termasuk keistimewaan setiap adat yang ada di setiap daerah, ada Undang dan sebagainya. Kita nak perkenalkan institusi adat ini, sekali gus boleh jadi tarikan pelancongan,” katanya.

Mengenai HPPNS, beliau berkata ia diadakan setiap tahun bagi mempromosi hasil dan produk pertanian keluaran peladang, penternak dan nelayan, selain platform bagi memperkenalkan teknologi terbaharu dalam bidang pertanian serta memberi peluang perniagaan.

 Antara tarikan utama di bawah Kluster Pertanian (HPPNS) pada tahun ini, termasuk pameran jentera moden, klasik dan tradisional selain pameran baka ternakan seperti lembu dan kambing, pameran Internet Kebendaan berkaitan tanaman dan makanan, katanya.

Beliau berkata Arena Usahawan pula merupakan platform kepada usahawan memperkenal dan memasarkan produk, serta memberi pendedahan lebih luas untuk mengembangkan perniagaan selain lebih 40 peniaga produk makanan beridentitikan Negeri Sembilan terlibat dalam NS Food Fest.

“Justeru, saya berharap NS Fest kali ini akan meningkatkan pertumbuhan PMKS dan purata terimaan pelancongan domestik di Negeri Sembilan, dengan berteraskan model pelancongan agro dan pelancongan adat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan