WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lelaki Warga Indonesia Dipenjara 15 Tahun Rogol Kanak-kanak

02/08/2024 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak jirannya yang berusia 10 tahun.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mukhlasin Zainuddin, 62, selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Selepas mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan saksi pembelaan iaitu tertuduh, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan,” kata Mohd Kafli yang turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula 4 Jan lepas.

Mukhlasin didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu yang semasa kejadian berusia 10 tahun di rumah tertuduh di Dang Wangi di sini antara 7 hingga 8 pagi, pada Januari dan Mei 2019, mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Mangsa yang sebelum ini memberi keterangan di mahkamah berkata pada hari kejadian ibunya tiada di rumah dan adik perempuannya berada di rumah pengasuh apabila tertuduh dikenali sebagai 'Pak Kassim' telah mengetuk pintu rumahnya.

Kanak-kanak itu yang membuka pintu kerana menyangka ibunya sudah pulang daripada kerja, melihat "Pak Kassim' berada di hadapan pintu rumah sebelum tertuduh menarik mangsa ke rumahnya di tingkat dua dan merogol mangsa. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

“Semasa kejadian, mangsa berumur 10 tahun dan dia mengalami trauma sepanjang hayatnya. Secara tidak langsung, masa depan mangsa terjejas akibat kejadian tersebut. 

“Kes ini melibatkan kepentigan awam dan tugas mahkamah adalah untuk melindungi masyarakat. Oleh itu, pendakwaan mohon agar hukuman berat dikenakan kepada tertuduh,” kata Noorhani.

Mukhlasin yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan faktor usia dan juga masalah kesihatan yang dihadapinya.

"Saya ada masalah sakit pinggang dan kadang-kadang tidak boleh jalan. Saya mohon hukuman ringan kerana saya tidak mahu meninggal di penjara, mahu meninggal di kampung saya," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan