WILAYAH - SELATAN > BERITA

Chaperone Berkaliber Iringi Atlet Paralimpik Ke Paris 2024, Elak Kejadian Tidak Diingini

03/08/2024 02:08 PM

MELAKA, 3 Ogos (Bernama) -- Chaperone atau pengiring berkaliber akan bersama atlet paralimpik dalam memastikan persiapan menghadapi pertandingan di Sukan Paralimpik Paris 2024 berjalan lancar.

Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Subramaniam Raman Nair berkata langkah ini bagi mengelakkan insiden tidak diingini terutama melibatkan perjalanan dan ketibaan atlet ke venue pertandingan.

"Sudah pasti apa yang pernah berlaku dulu, kita tidak mahu berulang lagi dan sebab itulah saya akan pastikan semua persiapan atlet berjalan lancar termasuk mempunyai chaperone yang berkaliber. Jika ada atlet mempunyai masalah atau kelemahan, mereka perlu pantas dan bijak menguruskannya. 

"Jadi kita sedang aturkan dan akan pastikan persiapan akhir atlet berada dalam keadaan terbaik dan saya sebagai Ketua Kontinjen (CDM), akan pastikan semuanya berjalan lancar dengan bantuan dari pelbagai pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan chaperone yang akan mengiringi atlet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Duduk Terbuka Melaka 2024 di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di sini hari ini, yang disertai 16 pasukan lelaki dan wanita dalam kejohanan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Mengenai kontinjen Paralimpik Malaysia ke Paris 2024, beliau berkata pihaknya akan memastikan atlet bertanding tidak terkesan dengan sebarang isu yang timbul sepanjang tempoh temasya berlangsung.

"Kita akui ada mendengar beberapa isu kurang enak dialami oleh atlet bertanding di Paris sekarang seperti tidak cukup makan, isu keselamatan dan pengangkutan. Sudah pasti kami ambil maklum semua perkara ini dan aturkan semua langkah berkaitan bagi mengelakkan ia berlaku pada atlet paralimpik nanti," katanya. 

Sukan tenis kerusi roda melengkapkan senarai akhir 30 atlet Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan negara kekal menyasarkan empat pingat emas pada penyertaan kali ini.

Atlet negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 mengambil bahagian dalam acara berbasikal trek, badminton, boccia, olahraga, memanah, renang, powerlifting dan tenis berkerusi roda.

Sukan Paralimpik Paris 2024 berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 Sept.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan