WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Peruntukan Hampir RM3 Juta Untuk Pembangunan Orang Asli DUN Nenggiri

04/08/2024 01:51 PM

GUA MUSANG, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan hampir RM3 juta meliputi pembangunan ekonomi dan infrastruktur sosial kepada masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Nor berkata peruntukan berkenaan membabitkan seramai 5,226 Orang Asli terdiri suku kaum Temiar dan Mendriq di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik, Pos Simpor, Pos Gob, Pos Tohoi, Pos Pulat, Kuala Lah dan Kuala Wok.

"Bagi sektor ekonomi, kerajaan memperuntukkan lebih RM1.6 juta termasuk projek ladang Orang Asli di Kuala Wok merangkumi inisiatif seperti peralatan, penorehan, input pertanian dan kursus berjumlah RM56,060 dan kerja-kerja membina jalan ladang sebanyak RM44,329.

"Selain itu, kerja-kerja membina jalan ladang di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Lah turut disalurkan berjumlah RM33,950 dan bantuan input pertanian tanaman halia di KOA Gob sebanyak RM15,000," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Sapiah berkata bagi sektor pembangunan infrastruktur sosial pula sebanyak RM1.39 juta diperuntukkan merangkumi Projek Ameniti Sosial (PAMS) berjumlah RM349,260 dan projek jalan perhubungan sebanyak RM845,220.

"Bagi perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Air Terawat (kontrak selama 24 bulan) pula JAKOA Kelantan dan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta," katanya.

Beliau berkata antara projek berimpak tinggi yang dilaksanakan di DUN Nenggiri adalah pembinaan enam unit jambatan keluli di Pos Gob menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos sebanyak RM1.9 juta dan sudah siap sepenuhnya untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat menggunakan jalan perhubungan itu.

"Selain itu, projek Hands Holding merangkumi pemberian peralatan dan input pertanian (baja, racun dan benih pertanian) di bawah sektor ekonomi juga memberi impak dan kesan positif kepada masyarakat Orang Asli untuk menjana sumber pendapatan mereka," katanya.

Untuk rekod tahun lepas, Sapiah berkata projek berimpak tinggi menelan belanja lebih RM2.5 juta yang dibahagikan kepada beberapa sektor iaitu pembangunan infrastruktur dan ameniti sosial (RM1.64 juta), jalan perhubungan (RM547,149), bekalan air terawat (RM20,700), projek Program Bantuan Rumah Orang Asli (RM234,040) dan projek ekonomi (RM66,398).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan