WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Institut Pendidikan Guru Tahfiz Malaysia Perlu Diwujudkan - Permata Al-Quran

04/08/2024 06:47 PM

KEPALA BATAS, 4 Ogos (Bernama) -- Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) menyeru agar kerajaan mewujudkan Institut Pendidikan Guru Tahfiz Malaysia bagi melahirkan guru terlatih dan menyediakan kaedah pengajaran standard untuk sekolah tahfiz.

Presiden Permata Al-Quran Manolito Mohd Dahlan berkata institut itu selain dapat mengajar guru tahfiz ia juga boleh berperanan sebagai  hab pendidikan tahfiz di peringkat antarabangsa.

"Pada Julai lepas saya ada membuat pembentangan dalam Jawatankuasa Pelarasan Pendidikan dan Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) di Sarawak dan saya maklumkan untuk melahirkan huffaz profesional perlu ada guru terlatih mengajar mereka.

"Guru terlatih perlu dilahirkan di Institut Pendidikan Guru Tahfiz Malaysia supaya dapat menghasilkan pelajar yang mahir dan profesional, malah sekarang tahfiz diangkat sebagai pendidikan arus perdana oleh pihak kerajaan dan menjadi sistem yang cemerlang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara kali kesembilan di Dewan Millenium di sini hari ini.

Majlis perasmian dan penyampaian sijil itu disampaikan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid dengan seramai 872 pelajar maahad tahfiz menerima sijil pada majlis berkenaan.

Manolito berkata isu dihadapi masa kini ialah tiada piawaian terhadap kualiti guru yang mengajar di sekolah tahfiz dan pihaknya berharap guru sekolah tahfiz diberi latihan secukupnya berbanding mengajar secara 'asal boleh' berdasarkan pengalaman semata-mata.

Sementara itu, Naib Presiden Permata Al-Quran Mohamad Hafiz Mohamad Hanifah berkata walaupun pihaknya menganjurkan kursus jangka pendek, namun tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan guru tahfiz.

"Perlu ada sebuah institusi khusus untuk memberikan latihan serta pendidikan khusus kepada tenaga pengajar. Meskipun guru tahfiz ada yang lulusan luar negara, namun kebanyakan mereka berasal dari tahfiz yang sama dan kembali menjadi tenaga pengajar di situ.

"Kami pernah panjangkan perkara ini ke peringkat Kementerian Pendidikan dan kami berharap ia dapat dilaksanakan memandangkan sasaran kerajaan untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional pada 2030," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan