WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Cubaan Marin Menang Emas Olimpik Di Paris Berakhir, Selepas Cedera

04/08/2024 08:21 PM

Daripada R. Vikneswaran

PARIS, 4 Ogos (Bernama) -- Bekas pemenang pingat emas badminton perseorangan wanita Carolina Marin yang hampir berjaya merampas semula kejuaraan di Sukan Olimpik Paris 2024, berakhir dengan kesedihan selepas mengalami kecederaan ketika sedang mendahului pada perlawanan separuh akhir hari ini.

Marin, pemenang pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016 itu, tidak bertanding di Olimpik Tokyo 2020 akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kirinya, hanya dua tahun selepas kecederaan ACL pada lutut kanan pada 2019.

Pada perlawanan hari ini, juara dunia tiga kali (2014, 2015, 2018) itu memenangi set pertama 21-14, dan sedang mendahului ketika bertemu pemain China He Bing Jiao 10-5, bagi menuju kemenangan di Arena Porte de La Chapelle.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan pada kaki kanannya, semasa melompat untuk melakukan smesy.

Marin yang ketempangan, cuba untuk meneruskan perlawanan dengan memakai pelindung lutut, namun sejurus kemudian menarik diri pada kedudukan 10-8, dan terus menitiskan air mata.

Bing Jiao, pemenang pingat gangsa kejohanan dunia dua kali, akan menentang juara dunia An Se Young dari Korea Selatan, esok.

Terdahulu, Se Young yang merupakan pilihan utama, mengalahkan Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia 11-21, 21-13, 21-16, pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

“Saya bersedih untuk Marin. Dia telah kembali daripada kecederaan parah dua kali sebelum ini, dan berharapan untuk atasinya kali ini. Dia minta saya untuk terus berjuang,” kata Bing Jiao.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan