WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: Skuad Berbasikal WP Mahu Beri Kejutan Di Sarawak

05/08/2024 02:45 PM

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Skuad berbasikal kontinjen Wilayah Persekutuan (WP) menaruh harapan tinggi bagi memperbaiki pencapaian sebelum ini sekali gus memberi kejutan pada penampilan di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos ini.

Selepas memperoleh tiga pingat perak pada SUKMA 2022, skuad itu kali ini dilihat lebih bersedia bagi menghadapi tiga acara dipertandingkan iaitu lebuh raya, BMX dan basikal bukit (MTB) yang akan diadakan di Kuching.

Penyelaras Sukan Berbasikal Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Muhammad Haekal Abd Halim optimis terhadap prestasi semasa kesemua 14 atlet yang terpilih ke SUKMA kali ini. 

"Berdasarkan persiapan rapi dan kondisi pelumba basikal yang ada pada kali ini, saya yakin pelumba basikal Wilayah Persekutuan turun sebagai pelumba bukan pilihan (underdog) akan mencipta kejutan sekali gus menghadiahkan pingat emas.

"Dengan keputusan yang baik dalam beberapa kejohanan sebelum ini, pelumba basikal kami terutama sekali dalam acara lebuh raya juga dipercayai akan membaiki pencapaian pada temasya edisi lalu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada SUKMA 2022, tiga pingat perak diraih menerusi Muhammad Fahmi Khairul dalam acara merentas desa lelaki, Nur Deena Safia Nor Effandy (merentas desa wanita) dan Yeong Zhen Yi (100 kilometer lepas beramai-ramai individu wanita).

Muhammad Haekal berkata Zhen Yi sekali lagi dipilih bagi menggalas cabaran WP dan merupakan antara taruhan memenangi emas di samping beberapa muka baharu yang dijangka melakar kejutan meraih podium.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan