WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MIDF Amanah Kekalkan Sasaran Asas FBM KLCI Pada 1,750 Mata Bagi 2024

05/08/2024 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan sasaran asas FBM KLCI bagi 2024 pada 1,750 mata susulan prospek asas dan monetari yang positif. 

Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini mencadangkan strategi pemilihan saham bagi separuh kedua 2024 dibuat berdasarkan kepada turun naik yang rendah hingga sederhana, dengan unjuran potensi peningkatan turun naik pasaran. 

“Sekuriti atau aset dengan turun naik harga yang tinggi dan pantas  sememangnya lebih berisiko.

"Sekuriti dengan turun naik harga yang rendah cenderung mempunyai harga yang stabil, menunjukkan risiko yang berkurangan. Saham dengan turun naik tinggi mencatatkan prestasi baik setakat ini pada tahun ini berbanding tahun lepas. Kami mengunjurkan kitaran dalam kaunter dengan turun naik yang rendah, seperti saham kewangan," katanya.

Di peringkat global, bank itu menjangkakan pasaran ekuiti dunia secara amnya kekal stabil, terutamanya disebabkan oleh jangkaan pelonggaran monetari dengan bermulanya penurunan kadar faedah Fed AS dan pertumbuhan makro/pendapatan yang berdaya tahan.

Bank pelaburan itu berkata ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS akan menarik dana asing, sekali gus meningkatkan pasaran ekuiti tempatan.

"Sebaliknya, kami menasihatkan pelabur supaya mengambil pendekatan berhati-hati, mengambil kira risiko kemelesetan AS yang berlarutan dan situasi yang membimbangkan di Ukraine dan Palestin," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan