WILAYAH - SABAH > BERITA

SUKMA: Skuad Gimrama Sabah Tekad Beri Saingan Hebat

05/08/2024 07:02 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 5 Ogos (Bernama) -- Skuad gimnastik berirama (gimrama) Sabah bertekad untuk memberikan saingan hebat dan aksi terbaik dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak, yang akan membuka tirai 17 Ogos ini.

Enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi, pasukan dibarisi gimnas muda berumur 13 hingga 15 tahun itu bagaimanapun diyakini mampu meraih sekurang-kurangnya tiga pingat gangsa bagi acara berpasukan serta acara latihan berkumpulan kategori gelung dan belantan.

Pengurus pasukan Jasmine Law berkata sasaran itu berdasarkan keupayaan dan semangat kesemua sembilan anak buahnya yang dipamerkan sepanjang lebih setahun menjalani latihan bagi menghadapi penyertaan kedua mereka di temasya itu, selain memperbaiki prestasi pada edisi di Kuala Lumpur dua tahun lepas.

“Semasa SUKMA di Kuala Lumpur, kami mendapat tempat kelima bagi acara berpasukan. Satu percubaan yang bagus kerana itu adalah penyertaan pertama kami dalam SUKMA. Ia juga merupakan pengalaman sangat penting bagi kami termasuk dalam memastikan persediaan atlet lebih baik.

“Untuk kali ini, kami menyasarkan sekurang-kurangnya dapat pingat gangsa bagi acara berpasukan. Kami meletakkan sasaran ini berdasarkan keupayaan atlet supaya mereka bersemangat dan percaya boleh mencapai sasaran itu,” katanya ketika ditemui Bernama pada sesi latihan di Kompleks Sukan Likas baru-baru ini.

Jasmine yang juga jurulatih bersama Corina S. Binting dan Zovi Tie Yu Pei berkata pihaknya telah membuat persiapan sejak tahun lepas.

“Kami mengambil pengalaman daripada SUKMA sebelum ini, kami sedar bahawa persediaan perlu dijalankan lebih awal supaya atlet gimnas kita mempunyai stamina dan dapat memberi persembahan lebih stabil.

“Persiapan sekarang boleh dikatakan 90 peratus, tinggal lagi kami akan mengadakan latihan intensif, selain latihan berpusat yang akan diadakan dalam dua sesi pada 8 hingga 14 Ogos ini,” katanya.

Menurutnya kepakaran serta pengalaman Zovi sebagai bekas gimnas kebangsaan digunakan sepenuhnya bagi mengendalikan koreografi untuk acara latihan berkumpulan dan acara individu.

“Persiapan boleh dikatakan sudah lengkap, hanya tinggal nak cantikkan (polish) sahaja sekarang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan