WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ADUN Rembia tahu implikasi sebelum tandatangan surat perjanjian - Ahmad Maslan

05/08/2024 07:15 PM

GUA MUSANG, 5 Ogos (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis tahu mengenai implikasi surat perjanjian dan aku janji ditandatangani setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang antara lain menyatakan denda RM100 juta jika mengkhianati parti.

Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dakwaan Muhammad Jailani semalam bahawa tuntutan denda daripada UMNO itu bertujuan menjadikannya muflis, adalah alasan semata-semata.

"Kita sediakan peguam sebelum mereka tandatangan (surat perjanjian), kita juga sediakan video untuk mereka faham sebelum tandatangan. Itu hanya alasan dia (Muhammad Jailani), alasan tidak kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa meninjau kemajuan fizikal projek pembinaan jalan baharu sepanjang 750 meter dari Jambatan Bertam ke Jalan Negeri D235 Gua Musang di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut meragui dakwaan Muhammad Jailani bahawa beliau menyertai PAS pada Jun tahun lepas, sebulan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan enakmen berkaitan antilompat parti.

Rabu lepas, mesyuarat MKT UMNO bersetuju memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan terhadap Muhammad Jailani yang diumum Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyertai parti itu sejak Jun tahun lepas.

Pada Sabtu, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Muhammad Jailani bagi menuntut bayaran denda RM100 juta berikutan tindakan menyertai PAS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan