WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perolehan Aset Tren Penumpang KTMB Guna Kaedah Pajakan - Loke

14/08/2024 06:15 PM

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bersetuju melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kaedah pajakan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kaedah pajakan itu akan dilaksanakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dengan China sebagai langkah meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

Bagi tempoh Fasa 1 iaitu dari 2024 hingga 2027 pelaksanaan strategi baharu itu menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 billion yang akan ditampung secara ansuran selama tempoh pajakan 30 tahun.

“Kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dengan China dalam tempoh masa terdekat. 

“Hampir 90 peratus tren penumpang dalam rangkaian perkhidmatan KTMB adalah buatan syarikat China Railway and Rolling Stock Corporations (CRRC) iaitu sebuah syarikat milik kerajaan China,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung inisiatif pemerkasaan industri kereta api di sini hari ini. 

Loke berkata penambahan 62 set tren penumpang dalam Fasa 1 akan merangkumi 36 set Three Car Set (3CS) Electric Multiple Unit (EMU), 12 set Six Car Set (6CS) EMU set, dan 14 set Six Car Set (6CS) Diesel Multiple Unit (DMU) set.

“Kebaikan kaedah baharu ini adalah kos pajakan merangkumi semua tahap penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) oleh entiti yang membekalkan tren untuk tempoh pajakan,” katanya.

Beliau berkata penyelenggaraan berjadual yang dilaksanakan secara berstruktur oleh syarikat-syarikat original equipment manufacturer (OEM) akan memastikan ketersediaan dan kebolehupayaan set tren pada tahap yang cemerlang.

Menerusi strategi baharu itu, Loke berkata kaedah perolehan secara pajakan juga dapat dilakukan dengan lebih cepat berbanding perolehan tren secara biasa. 

Selain dapat meningkatkan mutu perkhidmatan keretapi, kadar penggunaan (utilisation) landasan juga dapat ditingkatan daripada 30 peratus pada masa sekarang kepada 45 peratus menjelang 2027, dan kaedah pajakan juga akan membantu perancangan aliran tunai yang lebih teratur bagi pihak kerajaan,” katanya.

Loke berkata strategi baharu itu diperkenal selepas meneliti cabaran tren-tren penumpang terutamanya untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter dari segi ketersediaan dan kebolehpercayaan (reliability).

Beliau berkata setakat ini jumlah bilangan tren dalam perkhidmatan yang tersedia secara keseluruhan hanya 68 set tren penumpang, dan tanpa melaksanakan penambahbaikan segera, mutu perkhidmatan rangkaian KTMB dibimbangi akan merosot.

“Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk menambah bilangan tren penumpang bagi setiap laluan perkhidmatan yang ditawarkan di samping memastikan setiap tren penumpang berada di dalam keadaan baik setiap masa,” katanya.

Sementara itu Rafizi berkata Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam melaksanakan komitmen untuk mentransformasi landskap pengangkutan awam di Malaysia, dengan penekanan khusus di Lembah Klang.

Bagi mencapai 80 peratus penggunaan landasan keretapi di Semenanjung Malaysia menjelang 2030, beliau berkata kerajaan merangka rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan tren penumpang di Malaysia secara berfasa kepada 299 tren menjelang 2030.

“Sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja penting untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kelestarian alam sekitar, tetapi ia juga merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan